BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam, nak tanya. Boleh kah kita menetapkan masa untuk nazar. Sebagai contoh "Aku bernazar puasa lima hari jika dapat tukar jawatan. Kalau dapat bertukar jawatan dalam masa 6 bulan, aku tmbah lima hari lagi puasa nazar". Boleh kah begini? Jika boleh, dan saya dapat bertukar jawatan tetapi selepas 6 bulan, saya perlu puasa 5 hari atau 10 hari.

 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Merujuk kepada persoalan tuan, Nazar merupakan lafaz seseorang yang mewajibkan ke atas dirinya untuk melakukan sesuatu kebajikan atau taqarrub kepada Allah yang pada asalnya tidak wajib ke atasnya dari segi syarak, sama ada dikaitkan dengan sesuatu atau tidak. Secara asasnya, nazar adalah mengikut kepada apa yang dilafazkan ketika bernazar. Jika nazar yang dilafazkan adalah, "Aku bernazar untuk berpuasa lima hari jika dapat bertukar jawatan, kalau dapat bertukar jawatan dalam masa enam bulan, aku tambah lima hari lagi puasa nazar", nazar tersebut sah dan kesannya adalah sekiranya orang yang bernazar dapat bertukar jawatan, maka wajib baginya berpuasa lima hari. Adapun jika pertukaran jawatan berlaku dalam tempoh enam bulan, maka beliau wajib berpuasa sepuluh hari mengikut kepada apa yang dinazarkan.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda

لا تَنْذِرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا،

 وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah bernazar kerana nazar tidak mampu mengubah segala ketentuan Allah SWT, sesungguhnya nazar lahir dari seseorang yang bersifat bakhil (kedekut).

(Riwayat Muslim)

Hakikatnya, seseorang muslim dituntut untuk memperbanyakkan ketaatan sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepadanya dan bukanlah bersifat bakhil dengan mesyaratkan kepada Allah SWT untuk mengurniakannya sesuatu nikmat barulah mahu memperbanyakkan ibadah. Nazar tidak berkuasa mengubah sesuatu ketentuan sebaliknya hanya Allah SWT yang berkuasa ke atas setiap sesuatu.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 150

message user image