BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya nak ajukan beberapa soalan:

1) Adakah air yang berada dalam baldi yg kurang dari 2 kolah ataupun 216 liter apabila bercampur dgn air percikan cthnya air wudhu, air mandian. Air tu akan menjadi mustakmal? Atau air dlm baldi tu masih kekal menjadi air mutlak.

2) Adakah air baldi yg kurang daripada 2 kolah atau 216 liter apabila kita mencelup tangan ke dlm nya. Air tu menjadi mustakmal? Cthnya apabila ingin mengguna air dgn mencebok secara tak sengaja tangan pun masuk dlm air tu jg.

3) Kalau kita masuk ke dalam toilet, adakah perlu menggangap toilet itu bersih dan suci daripada najis? 
cthnya lantai toilet yg basah, selipar toilet yg basah, mangkuk jamban yg basah. Dan tak pasti kebasahan di sekitar toilet tu adalah najis ataupun tidak.  Bagaimana kalau pakaian terjatuh ke atas lantai basah? Ataupun kita duduk atas mangkuk jamban yg basah? Atau pakaian atau badan kita terkena sesuatu yg basah di toilet? Adakah perlu dianggap suci?

4) Untuk menyucikan sebarang najis pada pakaian, badan atau mana mana tempat. Adakah air didatangi 3 kali sudah memadai? Bagaimana pulak kalau mengguna air paip? Hanya 3 kali kiraan?

5) Bangkai semut yg mati di dalam air mutlak. Adakah najis air tersebut? Kadang kadang perkara mcm ni susah untuk di elakkan.

6) Adakah jerawat yg berdarah adalah najis yg dimaafkan? Ataupun darah dari luka luka kecil di mana mana anggota badan akibat kering walaupun tidak disengajakan, kuantiti darah yang sedikit dan darah luka hanya berada di tempat luka tidak mengalir tmpt lain?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan :

1) Air percikan daripada basuhan mana-mana anggota wajib wuduk tidak menyebabkan air di dalam baldi yang kurang dari 2 kolah berubah menjadi musta`mal kerana kuantiti percikan air tersebut adalah sedikit yang tidak mengubah sifat air serta sukar dijaga pada kebiasaannya, maka ianya dimaafkan dan air dalam baldi itu kekal menjadi air mutlak.

2) Perbuatan mencebok air daripada baldi yang kurang 2 kolah dan secara tidak sengaja tangan tercelop dalam air baldi tersebut tidak menyebabkan air di dalam baldi menjadi air musta`mal jika perbuatan mencebok itu tidak diniatkan untuk mengangkat hadas, sebaliknya diniatkan semata-mata untuk memindahkan air. 

3) Tandas yang diyakini bersih dari segala kekotoran dan najis boleh dianggap ianya bersih dan suci daripada najis. Oleh itu, sekiranya pakaian terjatuh di atas lantai yang basah di dalam tandas, duduk di atas mangkuk tandas yang basah atau anggota badan terkena sesuatu yang basah dalam tandas adalah suci selagi tiada tanda-tanda ianya terkena atau terdapatnya najis seperti ainnya, warna dan bau padanya. 

4) Bagi menyucikan sebarang najis pada pakaian, badan atau di mana-mana tempat yang terkena najis memadai dengan membersihkannya dengan mengalirkan air mutlak atau air paip ke tempat yang terkena najis sehingga hilang semua sifat-sifat najis seperti bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

5) Semut termasuk dalam kumpulan serangga yang tidak mengalir darahnya. Semut termasuk dalam kumpulan serangga yangg tidak mengalir darahnya. Oleh itu, bangkai semut tidak dianggap sebagai najis. Air yang dimasuki bangkai semut tidak menjadikan air tersebut sebagai mutannajis. 

6) Darah sedikit secara adat yang tidak mengalir keluar dari jerawat atau bekas luka adalah dimaafkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 830

message user image