Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , ustaz ketika saya mandi wajib menggunakan getah paip air mengalir tetapi air kemudian perlahan kemudian di sebelah sya ad air di dalam tong kurng dua kulah kemudian sya menciduk nya mengunakan gayung tetapi tangan sya termasuk kedlam air didlm tong adakah air berubah menjadi mustakmal ? Tetapi air didalam tong itu selalu mengalir kerana diisi dgn air paip . Apakah hukum sekira nya org lain mengunakan nya untuk bersuci seperti berwudhu adakah sya berdosa kerana kejahilan diri sendiri .
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Sebelum kami menjawab persoalan tuan, ingin diperjelaskan bahawa, air mustakmal adalah air mutlak yang telah digunakan dengan niat mengangkat hadas samaada kecil atau besar. Dalam perkara ini, hanya baki basuhan pertama yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sahaja yang dianggap sebagai air mustakmal, manakala baki air basuhan yang seterusnya tidak menjadi mustakmal kerana hadas telahpun terangkat.
Contoh apabila tuan telah meratakan air ke seluruh badan secara sempurna, maka hadas telahpun terangkat dan baki basuhan tersebut adalah air mustakmal. Kemudian jika tuan masih meneruskan mandi untuk basuhan seterusnya, maka baki air basuhan tidak dikira mustakmal.
Al-Qurthubi dalam kitabnya Bidayah al Mujtahid wa Nihayah al Muqtasid menyatakan bahawa air mustakmal adalah seperti air mutlak kerana secara kebiasaanya tidak akan berubah sifat suatu air itu dengan terkena salah satu anggota tubuh manusia.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan , ketika tangan dimasukkan ke dalam air, jika ia adalah bertujuan menceduk dan bukan dengan niat mengangkat hadas, maka ia tidak menjadikan air dalam tong bertukar menjadi mustakmal. Air tersebut boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk mengangkat hadas kecil atau besar. Tangan yang memegang penceduk apabila terkena air di dalam bekas seperti tong yang kurang dari dua kolah tidak menyebabkan air di dalam tong tersebut menjadi mustakmal. Ini adalah kerana tangan tersebut dianggap seumpama alat penceduk. Begitu juga halnya sekiranya menceduk air tersebut menggunakan tangan dengan niat mengambil air dan bukan untuk membasuhnya sebagai basuhan pertama anggota wudhuk.
Sekian, terima kasih
والله أعلم بالصواب