BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya hendak bertanya beberapa perkara yang menjadi persoalan . Ini berlaku di dalam keluarga saya . Dan saya amat amat perlukan kepastian daripada yang pakar agar akidah saya tak terpesong . Saya harap tuan / puan dapat membantu saya soalan demi soalan yang saya kurang faham . 
 

saya nak tahu , tentang seorang manusia / keturunan yang dahulunya mempunyai kuasa kuasa menyembuhkan , kuasa kuasa boleh berhubung dengan alam alam ghaib , kuasa yang memboleh kan seseoarang itu hidup tanpa perlu bekerja . Kuasa kuasa yang jikalau seseorang itu boleh tahu isi hati seseorang yang lainnya . Contoh : 

 

jika orang nak menyerang dia , dia akan buat orang tu dahulu sebelum orang tu menyerang dia . 
 

kuasa yang memboleh seseorang itu hidup tanpa bekerja dan katanya ianya hanya perlu tawakkal kepada Allah . 
 

contoh ; 

 

Nak pergi kelantan dari kl tk perlu isi myk . Hanya tawakal kepada Allah sahaja boleh sampai sehingga destinasi . 

boleh menyembuhkan penyakit / sakit . 
 

dan boleh juga memudahkan urusan orang yg sedang nazak , contoh ; 

 

bila pegang je orang nazak tu , terus dia mati . ( susah mati )

cerita ni dicerita tapi tiada kesahihannya .

 

Dan ada yg berkata mereka ni boleh nampak harta harta yg di jaga oleh jin iaitu harta harta raja sebenar . Dan hanya raja raja yg berdarah biru sahaja yg mampu nampak . 
 

 

adakah ilmu ilmu begini sah dari segi agama islam ? Mcm mana dengan akidah seseorang jika kita ingin ada ilmu ilmu sebegini ? 
 

kerana dia gunakan nama nama Allah dan wali wali membuatkan saya keliru .

 

betulke dia adalah wali allah ? Saya harap saya dapat jawapan daripada pertanyaa saya . Dan dahulukan dengan ucapan terimakasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umum dakwaan-dakwaan yang disebutkan merupakan perkara yang berlaku di luar kebiasaan serta adat manusia normal, namun perkara-perkara ini tidaklah mustahil kerana ia merupakan kurniaan Allah terhadap hamba-hambanya yang salih, kejadian sebegini dipanggil karamah.

Selain dari itu, maka dakwaan-dakwaan seperti itu boleh datang dari ahli maksiat dengan izin Allah. Ia merupakan ujian ka atas dirinya dan ia dipanggil istidraj.

Di dalam Islam tiada ilmu khusus untuk dipelajari. mendakwa diri sendiri sebagai wali Allah merupakan dakwaan yang boleh menimbulkan fitnah serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Kata-kata Imam Syafie:

إذا رأيتم الرجل يمشي على الماء ويطير في الهواء فلا تغتروا به حتى تعرضوا أمره على الكتاب والسنة 

Maksudnya:

"Apabila kamu melihat seorang lelaki berjalan di atas air dan terbang diudara (perkara luar biasa) jangan rasa kagum, (sebab syaitan pun boleh melakukan perkara sedemikian). Selidiki dahulu dan lihat tingkah laku, amalan serta perbuatan orang tersebut adakah ia menepati ajaran al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW".

Kata sebahagian Ulama' berhubung kaedah dan matlamat kita beribadah kepada Allah SWT:

كن طالبا للاستقامة لا طالبا للكرامة

Maksudnya:

"Jadilah pelajar yang istiqamah dan bukannya pelajar yang mengejar-ngejar karamah".

Tujuan beribadah kepada Allah SWT adalah semata-mata mencari keredhaan-Nya secara istiqamah. Dan bukanlah tujuan kita beribadah kepada Allah SWT kerana ingin mencari kelebihan atau kuasa luar biasa. Dikhuatiri perkara tersebut boleh membawa kepada kesesatan dan tipu daya syaitan. Dan perkara ini memang ada dan banyak berlaku.

Secara umum kedudukan akidah seseorang jika ada ilmu sebegini ada tiga keadaan:

1. Jika ilmu yang dimiliki itu merupakan kurniaan Allah maka akidahnya tidaklah terjejas. 

2. Jika ilmu yang dimiliki itu dipelajari dengan cara yang betul mengikut ajaran Islam juga tidaklah menjejaskan akidah seseorang itu, namun

3. Jika ilmu yang dipelajari itu dengan cara yang bertentangan dengan syariat Islam maka perkara tersebut boleh merosakkan akidah orang yang mempelajarinya.

Manakala berkaitan tawakkal pula penting untuk difahami tentang konsep tawakkal dalam Islam adalah tawakkal dan usaha mestilah dilaksanakan secara seiring. Bertawakkal dan berdoa tanpa usaha merupakan perbuatan yang tidak bertepatan dengan akidah ahli sunnah wal jamaah. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik RA meriwayatkan 

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ قَالَ اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ

Maksudnya:

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW : Wahai Rasulullah apakah aku harus mengikat untaku kemudian bertawakkal atau aku melepaskannya sahaja dan kemudian bertawakkal? beliau menjawab: Ikatlah untamu kemudian bertawakkallah.

Hadis di atas menjelaskan bahawa ikhtiar dan usaha adalah perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum seseorang bertawakkal kepada Allah SWT. Inilah konsep tawakkal yang benar di dalam Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.      

 

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 311

message user image