Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Suami saya telah disahkan legally blind akibat brain tumor dan surgeri.Penglihatan beliau amat terhad menyebabkan beliau dibersarakan Atas Sebab Kesihatan (ASK) oleh kerajaan.Beliau juga mempunyai kad OKU.
Suami saya ada membeli sebuah rumah dengan loan CIMB dan MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance) dari Sun Life.
Rumah tersebut dibeli pada tahun 2009.Ketika itu suami juga tiada ilmu yang cukup berkaitan insurans/takaful.
Bagaimana dari segi hukum kami sebagai Muslim membuat tuntutan Ketidakupayaan Kekal Menyeluruh (Total Permanent Disability/TPD) terhadap insurans rumah tersebut?
Pandangan tuan amat kami hargai.
Sekian terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam. Ini bermakna manfaat dari insuran tersebut juga tidak diharuskan untuk diambil.
Walau bagaimanapun, seandainya pihak puan tidak mempunyai pendapatan atau sumber lain untuk membayar ansuran rumah tersebut dan dengan tidak mengambil manfaat tersebut menyebabkan puan atau suami puan menjadi muflis hingga membawa kepada terlelongnya rumah tersebut dan puan tiada rumah lain, maka ketika itu puan boleh mengambil manfaat tersebut dengan mengira keadaan status puan dan suami sebagai golongan miskin.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.