BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT.

Saya Irwan Bin Mohammad dan keluarga saya (ibu dan bapa saudara) mewarisi sebidang tanah di sabak bernam, selangor. Di atas tanah tersebut terdapat sebuah surau dan surau tersebut tidak didaftarkan kepada pihak berkuasa agama islam negeri selangor.

Keluarga saya sebulat suara bersetuju untuk menjual tanah tersebut kepada pihak pemaju (syarikat bukan islam). Antara syarat jual beli tersebut adalah pihak penjual (keluarga saya) perlu merobohkan semua binaan di atas tanah tersebut termasuk surau.

Berdasarkan maklumat ini, saya ingin bertanya apakah hukum untuk melakukan urusan jual beli ini dan hukum merobohkan surau tersebut. Saya mohon pihak tuan dapat membantu saya dengan memberikan pencerahan.

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, hukum berjual beli dengan syarikat bukan Islam adalah harus. Manakala hukum merobohkan suatu binaan surau perlu merujuk kepada beberapa perkara yang berkaitan seperti status surau tersebut, kaedah pelupusan dan kesan terhadap perobohan tersebut. Perkara merobohkan surau ini boleh menimbulkan satu impak yang besar kepada masyarakat atau penduduk sekeliling yang berkemungkinan telah menggunakan surau tersebut sekian lama. Wakaf adalah sah dari segi hukum syarak walaupun belum didaftarkan kepada pihak Majlis Agama Islam. Adalah disarankan agar pihak tuan dapat mengadakan perbincangan lanjut bersama Pejabat Agama Islam Daerah bagi mendapatkan maklumat yang lengkap berkenaan status pembinaan surau tersebut dan juga status tanah tersebut dari pihak Majlis Agama Islam Selangor dan Pejabat Daerah Tanah yang berkaitan. Sebagai seorang Muslim adalah dipertanggungjawabkan untuk menjamin kesucian tempat ibadat bagi orang Islam dan keutamaan masjid dan surau sebagai tempat ibadat dan mengembangkan syiar Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 223

message user image