Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya seorang penghidap psoriasis, sejenis penyakit autoimun yg menjejaskan keadaan kulit. Kebelakangan ini Psoriasis saya semakin kerap berdarah, terutama ketika flare up teruk.
Jadi disini saya ada 2 soalan:
1. Adakah dibolehkan untuk saya solat secara duduk di atas kerusi?
Psoriasis saya agak teruk di bahagian kaki, terutama lutut dan juga di kaki bahagian belakang (kedudukan selari dgn buku lali). Jadi ia agak menyakitkan apabila saya sujud di lantai(sejadah) dan cuba untuk duduk antara 2 sujud dan duduk tahiyyat dengan sempurna disebabkan keadaan kulit saya yang terlalu sensitif dan mudah berdarah di bahagian tersebut.
Ketika Psoriasis saya tidak terlalu teruk, atau tidak flare up dan saya tidak berasa sakit, saya akan solat seperti biasa.
2. Disebabkan keadaan Psoriasis saya yang kini kerap flare up dan berdarah, bagaimana dengan wuduk saya? Dan pakaian saya yang dibawa solat? Kerana saya pasti darah pada kulit saya sedikit sebanyak akan terkena pada pakaian (walaupun telah ditukar ke pakaian baru untuk mendirikan solat).
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan,
Kami mulakan perbincangan ini dengan menjelaskan bahawa salah satu rukun solat adalah qiyam ( berdiri) .Sepertimana yang disebutkan dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji bahawa wajib berdiri bagi mereka yang mampu melakukannya.Hal ini berdasarkan hadith, daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.(Riwayat al-Bukhari)
Orang yang mampu berdiri pada sebahagian solatnya dan tidak berdaya pada sebahagian yang lain, hendaklah berdiri setakat yang termampu dan bolehlah duduk pada semua bahagian yang lainnya.
Setelah meneliti permasalahan yang dikemukakan, Puan dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi apabila keadaan penyakit yang puan alami menjadi terlalu kronik. Namun, perlu diambil maklum semasa menunaikan solat secara duduk tersebut, jika puan mampu untuk berdiri dan rukuk tetapi tidak mampu untuk sujud dan duduk (iftirasy / tawarruk / tarabbu’ / lainnya) maka;
a). Wajib qiam ketika takbiratul ihram dan membaca Surah Al-Fatihah serta rukuk dan iktidal secara lazimnya.
b). Rukun sujud dilaksanakan dalam keadaan duduk sama ada duduk di atas lantai (paling utama) atau duduk di atas kerusi (bagi yang tidak mampu duduk di atas lantai kerana sakit lutut dan sebagainya).
2. Berwuduklah seperti biasa dan selepas berwuduk sapu tempat yang sakit dengan krim atau plaster bagi mengelakkan berdarah. Manakala dari sudut pakaian yang dibawa solat pula perlu dipastikan bersih tanpa ada kesan darah dan lakukanlan solat seperti biasa sehingga selesai. Bagi rembesan darah yang berkemungkinan keluar ketika menunaikan solat dan terkena pada pakaian, ianya adalah dimaafkan kerana ianya termasuk dalam perkara yang darurat atau tidak dapat dielak atas sebab penyakit yang dihidapi. Namun, jika kawasan yang sakit itu boleh dihindari dari berdarah dengan cara disapu ubat atau dengan menggunakan plaster, maka adalah disarankan agar menggunakannya terlebih dahulu sebelum menunaikan solat.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.