Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin bertanyakan berkaitan pernafasan ketika solat. Adakah ketika hendak melafazkan satu-satu ayat dalam solat nafas itu perlu diambil dari hidung atau boleh dari mulut. Contohnya apabila selesema, adakah nafas itu boleh diambil dari mulut.
Soalan kedua saya ingin bertanyakan baru-baru ini saya baru mengetahui cara solat yang betul dan cara wuduk yang betul. Jadi adakah saya perlu mengqhadakan semula solat-solat saya sebelum ini.
Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد Merujuk kepada persoalan yang diajukan, kaedah bernafas di dalam solat tidak ditentukan secara khusus. Apa yang penting ianya bersesuaian dengan situasi orang yang bersolat dan tidak mengganggu tumpuan ketika solat. Jika seseorang baru mengetahui kaedah solat yang betul dan solat yang lepas telah diakukan dengan cara yang salah atau tiak memenuhi rukun dan syarat solat maka solat terdahulu sah dan tidak wajib diqada'. ini kerana kesalahan tersebut berlaku atas sebab kejahilan dan bukan disengajakan. Berhubung kesalahan atau dosa yang dilakukan, Allah SWT berfirman di dalam surah al-Ahzab ayat 5; وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا Maksudnya: "Dan kamu tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap mekakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu) adalah perbuatan yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." Teruskanlah menuntut ilmu khususnya ilmu agama yang menjadi penentu sah atau batal ibadah seseorang. Banyakkan berdoa dan beristighfar semoga amalan yang dilakukan diterima dan segala dosa diampunkan Allah SWT. والله أعلم بالصواب |