Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya Noh dan menetap di Shah Alam, Selangor. Saya dan isteri ada kemusykilan tentang puasa. Hari ini, 5 Ramadhan 1439H. Isteri saya baru disahkan mengandung (dalam lingkungan 6 minggu ketika ini). Sejak hari ketiga Ramadhan, isteri saya mula berasa kurang mampu untuk berpuasa seperti rasa terlalu lemah sehingga menggigil anggota badan dan perut terasa pedih. Kami ingin meminta pengesahan dari pihak yang lebih arif tentang perkara ini. 1) Adakah benar ibu mengandung dibolehkan untuk tidak berpuasa sekiranya risaukan kesihatan diri sendiri dan wajib ganti puasa itu. 2) Dan wajib ganti puasa beserta fidyah sekiranya risaukan kesihatan diri sendiri dan kandungan. 3) Jika ibu mengandung tidak sempat untuk menggantikan puasa Ramadhan sehingga Ramadhan tahun akan datang atas sebab berpantang dan menyusukan anak (ibu memerlukan makanan dan zat yang cukup untuk menghasilkan susu). Apakah yang perlu dilakukan. Diharap pihak tuan dapat membantu kami dalam hal ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Benar. Dalilnya sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya; “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain” (al-Baqarah : 184) 2. Benar. Jika isteri khuatir dan bimbang akan kesihatan bayinya, maka wajib qada’ puasa beserta fidyah. 3. Bagi ibu-ibu yang tidak sempat qada’ puasa Ramadhan yang lalu sehingga bertemu Ramadhan yang akan datang, tetap wajib qada’ puasanya mengikut jumlah hari yang ditinggalkan, beserta dengan bayaran fidyah. Adapun, jika ibu tersebut meninggalkan qada’ puasa atas sebab keuzuran seperti masih menyusukan anak, kemudian sampai ke Ramadhan tahun berikutnya, maka tidak perlu membayar fidyah tetapi wajib qada’ puasanya. Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Mu’tamad menyatakan : “Jika seseorang wanita itu melewatkan qada’ puasanya kerana uzur seperti berterusan sakit, menyusukan anak, hamil dan musafir sehingga masuk Ramadhan yang baharu, maka tidak wajib fidyah kerana kelewatan ini dan wajib qada’ sahaja” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.