Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya doakan semoga Tuan/Puan dalam keadaan sihat walafiat dan selalu dalam lindungan Allah. Amiin
Saya nak bertanya berkenaan zakat isteri kepada suami.
Sebelumnya saya ceritakan keadaannya dahulu ya.
Rumah dibeli atas nama suami, tapi pembayaran ansuran rumah sebelum ini kami bayar bersama-sama. Sampai satu masa kami tiada pendapatan dan suami tak dapat pekerjaan lagi. Tapi sekarang suami sudah dapat pekerjaan baru dan saya sudah mula berniaga semula.
Kami tinggal di shah alam selangor. Gaji suami kecik, tak sampai rm3000, kami ada 3 orang anak (15th, 12th dan 10th). Tapi saya juga berniaga, jadi Alhamdulillah pendapatan kami boleh tampung sara keluarga. Dan sejak suami mula bekerja, suami yang bayar ansuran hutang rumah. Saya membantu kewangan dari yang lain-lain.
Dan sekarang ni, Alhamdulillah… hasil dari pendapatan saya, saya sudah boleh mengeluarkan zakat pula. Dan yang jadi pertanyaan saya sekarang:
Bolehkan saya memberi zakat saya pada suami untuk membantu pembayaran hutang rumah-ribawi (dengan catatan rumah dibeli memang atas nama suami, namun sebelum ini saya juga pernah ikut sama membayar ansuran rumah tersebut)
Saya sangat berharap dapat jawaban atas persoalan ini. Sebelumnya saya ucapkan ribuan terima kasih.
Yours Sincerely,
Fanny
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, harus dan sah hukumnya seorang isteri memberi zakat kepada suaminya sekiranya suaminya termasuk dalam golongan orang yang berhak menerima zakat atau asnaf.. Keharusan ini adalah melalui pandangan para ulama’ Syafi’iyyah yang menyatakan sunat untuk isteri melakukannya bersandarkan kepada satu hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Zainab RAnha bertanya kepada Rasulullah SAW;
يَا نَبِيَّ اللَّهِ ، إِنَّكَ أَمَرْتَ الْيَوْمَ بِالصَّدَقَةِ وَكَانَ عِنْدِي حُلِيٌّ لِي ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهِ ، فَزَعَمَ ابْنُ مَسْعُودٍ أَنَّهُ وَوَلَدَهُ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَلَيْهِمْ
Maksudnya: Wahai Nabi Allah, sesungguhnya pada hari ini kamu telah menyuruh kami untuk membayar zakat, dan aku memiliki barang perhiasan yang aku ingin bayarkan zakatnya. Lalu Ibn Mas’ud mendakwa bahawa dia dan anaknya lebih berhak aku berikan zakat kepada mereka.
Lalu Rasulullah SAW bersabda;
صَدَقَ ابْنُ مَسْعُودٍ ، زَوْجُكِ وَوَلَدُكِ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتِ بِهِ عَلَيْهِم
Maksudnya: "Benarlah Ibn Mas’ud. Suami dan anak engkau lebih berhak menerima sedekah yang ingin engkau lakukan itu. "(Riwayat al-Bukhari)
Namun begitu, dalam usaha membina sebuah keluarga yang harmoni dan penuh kasih sayang, perlu ada saling bantu membantu dalam pengurusan kewangan keluarga. Dalam situasi ini, sekiranya pendapatan puan lebih besar berbanding suami, adalah tidak menjadi kesalahan jika puan bersama-sama dalam menyumbang dan membantu ekonomi keluarga walaupun bukanlah menjadi kewajipan seorang isteri memberi nafkah dan menyara keluarga, namun ada keperluannya sikap bertoleransi bekerjasama demi keharmonian sebuah rumahtangga.
والله أعلم بالصواب