BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..saya ada terjumpa 1 utas gelang tangan di lapangan terbang diluar semenanjung malaysia pada awal tahun 2018.ketika itu situasinya ketika saya sedang beratur untuk boarding checking last gate sebelum naik flight.secara tiba² saya terpandang 1 utas gelang berada di atas kerusi yg tidak di duduki betul² disebelah tempat saya beratur. Oleh kerana beranggapan gelang itu adalah fake dan takut terlepas flight saya terus mengambil gelang itu dengan harapan ada berjumpa dengan petugas untuk memulangkan ke department lost and found nanti.namun tiada petugas disitu..setelah pulang ke  semenanjung saya masih beranggapan gelang itu adalah tiruan dan membiarkannya hinggalah ketika ini julai 2021..Minggu lepas saya ada bertanyakan kepada salah seorang kenalan yg menjalankan perniaagan emas dan meminta dia menilai ketulenan rantai itu..terkejut saya dia menyatakan gelang itu adalah emas 916.dalam keadaan tanpa berfikir panjang saya telah menjual gelang itu kepadanya dengan jumlah nilai belian emas terkini..

Soalan saya.

1.Apa yg perlu saya lakukan dengan wang tersebut.

2.bolehkan saya sedekahkan wang tersebut dan berniat atas tuan empunya gelang.

3.Apakah hukumnya jika saya membelanjakan wang tersebut..

4.Betulkah tindakan saya tidak men war warkan kerana beranggapan gelang itu fake dan tidak bernilai dan situasi ketika itu yang takut terlepas flight 

Harap pihak tuan dapat menjawab persoalan saya dan memberi kata nasihat untuk tindakan seterusnya.terima kasih tuan

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan:

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 29:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil”

Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani, merupakan sahabat Rasullullah S.A.W telah berkata:

 سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏"‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏"‏

Nabi S.A.W ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya. (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya,

  1. Apa yang boleh tuan lakukan adalah memulangkan wang tersebut kepada pembeli (kenalan tuan) dan mendapatkan semula gelang tersebut. Jual beli gelang tersebut adalah tidak sah kerana menjual sesuatu yang bukan milik tuan. Seandainya pembeli enggan, selepas menerangkan perkara yang sebenar, simpan wang hasil jualan itu. Buat hebahan di media massa yang munasabah seperti facebook dan sebagainya. Apabila telah berlalu setahun, tuan dibenarkan untuk memanfaatkan gelang tersebut atau menjualnya dan membelanjakan hasil jualan itu. Bukan sebagai pemilik gelang, akan tetapi dianggap sebagai hutang dari pemilik sebenar gelang tersebut. Seandainya pada bila-bila masa pemilik asal menuntut gelang tersebut, tuan dikehendaki memulangkan hasil jualan gelang itu.
  2. Tuan boleh menyedekahkan wang tersebut, namun tuan tetap bertanggungjawab untuk memulangkan wang hasil jualan gelang itu kepada pemilik asal jika suatu hari beliau menuntutnya.
  3. Tuan boleh memanfaatkan wang tersebut setahun selepas membuat hebahan kepada umum. Pun begitu, tuan tetap bertanggungjawab untuk memulangkan wang hasil jualan gelang itu kepada pemilik asal jika suatu hari beliau menuntutnya.
  4. Adalah salah untuk tidak menghebahkan atau menguar-uarkan gelang tersebut. Mengambil barang orang lain, berapa pun nilainya, menganggapnya gelang asli atau tiruan adalah tidak dibenarkan di dalam Islam.

Untuk makluman lanjut berkaitan menjumpai barang tercicir atau luqatah, tuan boleh merujuk kepada fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dan diwartakan pada 31 Mac 2011 di pautan berikut:

https://www.muftiselangor.gov.my/en/general/fatwas/latest-fatwas/206-hukum-perlaksanaan-pengurusan-dan-pelupusan-harta-luqatah-yang-disimpan-oleh-majlis-agama-islam-selangor 

Sekian, terima kasih.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 150

message user image