BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya nak bertanya tentang hukum mengunakan rawatan filler untuk membesarkan dan menegangkan zakar.

Saya mengalami masalah ereksi dan sukar untuk memberi nafkah batin. 

Saya dapati rawatan ini mampu memberikan kesan untuk jangka masa panjang.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, secara umum, berubat bagi mengatasi masalah keupayaan seksual adalah diharuskan, bahkan pada keadaan tertentu menjadi wajib sekiranya ia membawa kepada ketidakupayaan suami melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah batin kepada isteri yang mana isteri diberi hak menuntut fasakh kerananya. Ini berdasarkan kaedah Fiqah:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

“Sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara, maka perkara tersebut juga menjadi wajib”.

Merujuk kepada persoalan tuan, kaedah yang dimaksudkan adalah kaedah penis filler, iaitu suatu kaedah menyuntik “dermal filler” ke dalam lapisan dermis atau kulit zakar untuk memberi kesan pembesaran pada diameter atau lilitan zakar. “Dermal filler” merupakan bahan asing yang disuntik ke dalam tisu seseorang seperti “asid hialuronik”, “calcium hydroxyapatite”, “polymethylmethacrylate” dan silikon. Terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa minyak tanah, minyak zaitun serta minyak kasturi turut digunakan. Kaedah ini masih banyak diperdebatkan di kalangan pakar-pakar perubatan terhadap kesan kebaikan serta keburukan yang boleh berlaku. Perkhidmatan ini kebiasaannya ditawarkan oleh pusat-pusat terapi kosmetik yang tidak mendapat tauliah dari pihak yang berautoriti.  

Sebelum seseorang itu memilih untuk menjalani sesuatu rawatan, beberapa perkara perlulah dipastikan:

  1. Merujuk dahulu kepada doktor pakar yang berautoriti serta dipercayai sama ada rawatan tersebut benar-benar diperlukan, atau sama ada rawatan tersebut sesuai atau pun tidak.
  2. Memastikan bahawa bahan yang digunakan adalah suci.
  3. Mendapat nasihat doktor pakar yang dipercayai bahawa kesan daripada rawatan tersebut tidak mendatangkan kemudharatan yang lebih besar.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 349

message user image