BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

لسلام عليكم‎

Mohon bantuan untuk membantu menjawab kemusykilan kami. saya terpaksa bercerita panjang sedikit supaya tuan boleh memahami situasi yang berlaku.

Ada sebuah kilang berdekatan tempat tinggal kami..nama kilang itu adalah pentas flora(PF). Sebuah kilang yang memproses minyak hitam kitar semula. Kilang ini disyaki sebagai punca utama yang menghasilkan pencemaran bau yang kerap berlaku(bukan setiap hari) di kawasan tempat tinggal kami walaupun telah mendapat kebenaran pihak majlis dan juga pihak alam sekitar.

Baru-baru ini pihak kilang telah mengadakan kajian soal selidik dari rumah ke rumah. Kajian soal selidik itu adalah kerana mereka ingin membesarkan kilang mereka. Sementara itu heboh di taman perumahan kami tentang pihak pentas flora mengadakan kajian soal selidik. PF ambil masa selama 2 hari untuk selesaikan kajian soal selidik mereka di taman perumahan kami. Ada yang mengutuk dan ada yang ambil positif, saya berfikiran positif. Kami yang berfikiran positif ni, berfikir tak apalah, sekadar soal jawab pun. Giliran lorong rumah saya diadakan pada hari kedua. Yang berfikiran negatif pula, secara tota menolak atas alasan PG menyusahkan hidup penduduk dengan pencearan bau.

Mereka yang menjawab telah diberikan hadiah dalam sebuah beg kain yang berisi face mask dan juga sabun pencuci tangan. Info ini kami dapat dari lorong yang telah selesai disoal selidik oleh PF. Hari kedua setelah selesai mnejawab soal selidik dan setelah lebih kurang 30 minit berlalu, saya pun melihat beg tersebut, saya dapati bukan sahaja face mask dan sabun pencuci tangan tetapi terdapat juga sampul surat dalam beg tersebut. Bila saya buka terdapat sejumlah wang dalam sampul tersebut.

Bila saya tanya jiran-jiran saya, mereka yang jawab semua dapat hadiah yang sama. Jumlah yang kami dapat tidak sama. Ada yang dapat RM200, RM500 dan paling tinggi RM1500.00. Kami nak pulangkan kembali serba salah nak ambil serba salah.. bagi penduduk yang tidak menjawab, ada yang menuduh kami meminta duit. Sedangkan kami tak minta dan tidak tahu pun mengenai hadiah duit tersebut. Hadiah wang ini tidak pula disebut oleh penerima2 pada hari pertama atau pun yang tahu mengenai perkara ini. Mungkin mereka terlupa...

Saya dan jiran-jiran ingin bertanya mengenai status mengenai hadiah yang kami terima sekarang? Mohon pengesahan dari tuan yang lebih arif dalam hukum agama mengenai status hadiah tersebut, itu rasuah ke? Halal atau haram?

Pencerahan daripada pihak tuan amat kami hargai.

والسلام


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan:

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:

 وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ

“Dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”

Hadith daripada Abu Abdullah al-Nu'man bin Basyir R.A. bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

إن الحلال بيّن وإن الحرام بيّن، وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه

"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya".

Sama ada ianya rasuah atau tidak, ia perlu kepada siasatan lebih lanjut terhadap maksud dan tujuan pemberian wang tersebut oleh pihak syarikat dengan melaporkan perkara tersebut kepada pihak yang berwajib. Ini adalah kerana tindakan syarikat tersebut adalah diragui dan  boleh dipertikaikan kerana hadiah-hadiah yang diberikan seakan tidak setimpal dengan hanya mengisi borang soal selidik boleh mendapat RM1500. Ini ditakuti ada agenda lain yang boleh memudaratkan. Adalah wajar pihak wakil penduduk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa berdasarkan kenyataan pihak tuan yang mengatakan bahawa  terdapat pencemaran bau yang sekiranya dibiarkan boleh mengancam kesihatan.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 143

message user image