BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang proses cucuk vaksin. Adakah keadaan apabila seorang perempuan menerima tukang cucuk vaksin lelaki itu dikira sebagai darurat? Seperti yang telah diberitahu kerajaan tukang suntik vaksin tidak diwajibkan memakai sarung tangan disebabkan sarung tangan perlu ditukar setelah menyuntik seoarang penerima vaksin. Dan ada sesetengah tempat vaksinasi yang mengasingkan lelaki dan perempuan. Adakah salah jika sesetengah pusat vaksinasi tidak mengasingkan seperti tempat yg lain? Soalan terakhir, Adakah yg perlu diutamakan (aurat dan batas sentuhan) atau mengambil proses vaksinasi yang mudah dan cepat tanpa mengira benda lain? Mohon pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Merujuk kepada soalan yang diajukan, batas aurat dan pergaulan wajib dipelihara setiap masa khususnya ketika berada bersama golongan bukan mahram. Namun kelonggaran mendedahkan aurat diberikan dalam proses rawatan sekiranya ia tidak dapat dielakkan. Keutamaan adalah menurut kepada situasi di bawah;

1. Petugas yang sama jantina; Situasi ini adalah penentuan yang terbaik sekiranya dapat dilaksanakan oleh pihak KKM di setiap pusat vaksinasi sekiranya tidak mendatangkan masalah kerana ia lebih jauh dan selamat dari sebarang fitnah dan memberi lebih keselesaan kepada petugas dan penerima vaksin.

2. Petugas wanita menyuntik lelaki; Situasi ini masih boleh diterima kerana bahagian bahu yang akan disuntik tidak termasuk di dalam aurat yang tidak boleh didedahkan di hadapan wanita ajnabi, namun masih perlu mengelak sebarang ruang timbulnya fitnah.

3. Petugas lelaki menyuntik wanita; Situasi ini sebolehnya perlu dielakkan. Namun jika tiada pilihan lain di pihak penerima vaksin, maka ia diharuskan dengan syarat yang ketat seperti hanya menyingkap di bahagian anggota badan sekadar yang perlu, menyentuh hanya di bahagian yang perlu, di tempat yang terbuka, tidak berdua-duaan dan dalam masa yang diperlukan sahaja.

Penerima vaksin khususnya wanita adalah digalakkan memohon kepada petugas Pusat Vaksinasi untuk disuntik oleh petugas yang sama jantina. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 161

message user image