BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, apakah hukum seseorang jual barang yang orang beri sebab barang tu telah rosak ? Adakah dibolehkan ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Harus hukumnya menjual sesuatu barangan yang diberikan oleh seseorang. Ini kerana barangan tersebut telah bertukar milik dan pemilik barangan berhak untuk melakukan apa sahaja terhadap barang yang dimilikinya termasuk menjualnya. Namun, menjual barang yang rosak perlu memenuhi beberapa perkara. Konsep utama yang telah digariskan di dalam Islam bagi amalan jual beli adalah perlu kepada saling reda-meredai antara penjual dan pembeli. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 29:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

Begitu juga dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Dawud bin Salih al-Madani daripada ayahnya telah berkata bahawa dia telah mendengar Abu Sa'id al-Khudri R.A berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya jual beli itu dengan cara sukarela.” (Riwayat Ibn Majah)

Dalam satu kaedah fiqah menyebut:

الرِّضَا بِالشَّيْءِ رِضًا بِمَا يَتَوَلَّدُ مِنْهُ

Maksudnya: “Reda dengan sesuatu adalah reda dengan apa yang terbit daripadanya”

Kesimpulannya, jual beli barang rosak adalah diperbolehkan dengan syarat menepati konsep meredai antara penjual dan pembeli dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada pembeli berkaitan kerosakan/kecacatan dan harga yang dijual adalah munasabah dengan kerosakan barang tersebut. Di samping konsep reda antara penjual dan pembeli, syarat lain adalah jual beli barang yang memberi manfaat. Walaupun pada asalnya barang itu telah rosak tetapi dapat diperbaiki dan diperelokkan, maka ia telah menepati syarat jual beli barang yang memberi manfaat.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 318

message user image