Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.. saya ingin bertanya.. ADAKAH SUSU IBU ANGKAT YANG TIDAK HABIS DIMINUM OLEH SI ANAK ANGKAT, TIDAK BOLEH DISIMPAN KEMBALI UNTUK KALI KEDUA PENYUSUAN DALAM TEMPOH YANG SINGKAT (susu tidak berubah warna, bau, dan rasa) dan SUSU tersebut haruslah di buang kerana kualitinya kurang.
Ada yang berpendapat, susu yang tidak habis diminum oleh si anak ini TIDAK LAYAK digunakan untuk mahramkan si anak tersebut kerana susu tersebut kualiti seperti air masak.
Mohon penjelesan di atas kemusykilan ini.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, isyarat kenyang pada bayi ialah apabila dia melepaskan puting susunya apabila telah kenyang. Justeru, susu ibu (dalam botol) yang tidak habis diminum boleh sahaja disimpan mengikut tempoh dan suhu yang bersesuaian. Ia boleh diguna untuk penyusuan kali kedua dan tidak mengurangkan kualitinya kerana itu tetap susu ibu dan tidak juga menukar kualitinya seperti air masak.
Pendapat tersebut tiada dalam syarak dan tidak termasuk dalam hukum kemahraman anak susuan. Berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 7 Jun 2012, memutuskan;
Perkara (3) Jumhur fuqaha juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut muhrim dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, maka bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh syarak seperti berikut :
(i) Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
(ii) Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi;
(iii) Umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
Hujah sabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
Rujukan link fatwa : https://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/267-hukum-wanita-menyusukan-anak-angkat
والله أعلم بالصواب