Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan / puan, saya ingin bertanya. Semasa saya masih belajar di universiti di Perak (tahun 2009. Sekarang saya menetap di Selangor) saya pernah makan di KFC dan saya ambil satu sos cili dari situ dan bawa balik ke hostel. Sekarang saya sudah bertaubat, lalu saya terkenang akan dosa dosa yang lepas. Bagaimana caranya untuk saya tebus kesalahan saya ? Saya tak ingat KFC cawangan mana atau KFC tu masih wujud atau tak sebab lokasi keadaan agak terpencil, bukan di kawasan bandar. Saya singgah di situ untuk makan dari outing bandar ke universiti saya. Jadi saya tak ingat sangat KFC tu di mana. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, cara untuk menebus kesalahan terdahulu adalah dengan bertaubat kepada Allah. Taubat ialah menyesal atas perbuatan dosa yang dilakukan dan tidak melakukannya kembali. Firman Allah SWT dalam Surah al-Tahrim ayat 8 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
Kaedah bertaubat yang perlu dilakukan adalah seperti berikut :
1) Hendaklah kita menjauhi dosa atau maksiat yang pernah dilakukan.
2) Menyesali atas kesalahan dan dosa yang dilakukan.
3) Berazam tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan.
4)Jika dosa itu melibatkan harta seseorang, maka hendaklah memulangkan harta tersebut atau membayar gantirugi.
Sebagaimana Hadith Nabi SAW:
رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا كَانَتْ لأَخِيهِ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ فِي عِرْضٍ أَوْ مَالٍ فَجَاءَهُ فَاسْتَحَلَّهُ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ وَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ فَإِنْ كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ حَسَنَاتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ حَمَّلُوا عَلَيْهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِمْ
Maksud: "Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (termasuk mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya" (Riwayat Tirmizi)
Oleh kerana dalam persoalan yang dikemukakan ini ada melibatkan harta orang lain, maka bayaran gantirugi perlu dibayar kepada pemilik kedai tersebut. Namun begitu, jika sekiranya pemilik tersebut tidak dijumpai atau kedai itu tidak wujud lagi, maka perlu diganti dengan nilai harga semasa dan hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. Ini berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.