BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, saya ingin bertanya adakah boleh kita beramal dengan amalan yang mempunyai jumlah dan tatacara tertentu?

Sebagai contoh, solat hajat kemudian baca Surah Fatihah 11 kali kemudian doa 7 kali agar Allah SWT melembutkan hati orang yang dicintai biidznillah

Dan juga amalan-amalan lain yang mempunyai jumlah tertentu


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, beramal dengan amalan yang mempunyai jumlah dan tatacara tertentu adalah diharuskan.

Ini berdasarkan kepada dalil umum banyaknya hadis-hadis Nabi Muhammad saw yang menetapkan jumlah tertentu zikir. Antaranya, sabda Nabi Muhammad saw kepada anakandanya Fatimah ra yang merungut kerana beban kerja rumah yang berat dan mengharapkan seorang khadam atau pembantu dari Nabi saw:

«أَلاَ أُعَلِّمُكُمَا خَيْرًا مِمَّا سَأَلْتُمَانِي، إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا تُكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ، وَتُسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَتَحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ»

Bermaksud: “Mahukah kalian berdua aku ajarkan perkara yang lebih baik dari yang kalian minta? Jika kalian telah berada di tempat tidur kalian bacalah takbir tiga puluh empat kali, tasbih tiga puluh tiga kali dan tahmid tiga puluh tiga kali. Itu semua lebih baik buat kalian berdua daripada seorang pembantu”

(Riwayat al-Bukhari)

Di hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:

«مَنْ سَبَّحَ اللهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَحَمِدَ اللهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَكَبَّرَ اللهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ، وَقَالَ: تَمَامَ الْمِائَةِ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ»

Maksudnya :”Sesiapa yang bertasbih pada setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali. Kesemuanya adalah sebanyak 99 kali. Dan bersabda: genapkan ke-100, dengan mengucapkan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

maka diampunkan kesalahannya walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.”

(Riwayat Muslim)

Mu’az bin Anas Al-Juhani meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:

«مَنْ قَرَأَ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ حَتَّى يَخْتِمَهَا عَشْرَ مَرَّاتٍ، بَنَى اللهُ لَهُ قَصْرًا فِي الْجَنَّةِ»

Bermaksud: “Siapa yang membaca qul huwallahu ahad (surah al-Ikhlas) hingga ke akhirnya sebanyak sepuluh kali, maka akan dibina baginya sebuah istana di syurga”.

(Riwayat Ahmad)

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Ansari bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:

«مَنْ قَالَ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ عَشْرَ مَرَّاتٍ، كُنَّ كَعَدْلِ أَرْبَعِ رِقَابٍ، وَكُتِبَ لَهُ بِهِنَّ عَشْرُ حَسَنَاتٍ، وَمُحِيَ عَنْهُ بِهِنَّ عَشْرُ سَيِّئَاتٍ، وَرُفِعَ لَهُ بِهِنَّ عَشْرُ دَرَجَاتٍ، وَكُنَّ لَهُ حَرَسًا مِنَ الشَّيْطَانِ حَتَّى يُمْسِيَ، وَإِذَا قَالَهَا بَعْدَ الْمَغْرِبِ فَمِثْلُ ذَلِكَ»

Bermaksud: “Sesiapa yang ketika selesai solat subuh mengucapkan: Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali hanyalah Allah Yang Maha Esa. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Hanya di tangan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, sebanyak 10 kali maka kalimat-kalimat tadi menyamai (pahala) membebaskan 4 (orang) hamba, dan dituliskan baginya 10 kebaikan, dan dihapuskan darinya 10 keburukan, diangkat baginya 10 darjat, dan kalimat-kalimat tadi akan menjadi penjaga baginya dari syaitan hingga ke petang. Dan jika diucapkannya ketika selesai solat maghrib maka dia akan mendapat perkara yang sama (hingga ke subuh)”.

(Riwayat Ahmad)

Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:

"مَنْ قَالَ: سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ، حُطَّتْ خَطَايَاهُ، وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ"

Bermaksud: “Siapa yang mengucapkan سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ sebanyak 100 kali dalam sehari, akan dihapuskan dosanya, walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.”

(Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, adalah tidak menjadi kesalahan untuk menetapkan jumlah tertentu surah atau zikir yang hendak diamalkan. Begitu juga hal keadaan menetapkan kaedah atau susunan tertentu surah atau zikir yang hendak diamalkan adalah diharuskan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.      


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 151

message user image