BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, tuan. saya ada soalan berkaitan Non-Fungible Token.

1. Adakah Non Fungible Token ini dibernarkan dalam islam? 

2. Dan adakah jual beli NFT ini juga dibenarkan?

Saya  pernah dicadang untuk menjual karya seni digital saya sebagai NFT.. Namun, saya tak pasti apa hukum jual beli seperti NFT ini. Kalau dibenarkan, saya ingin menjadikan ini sebagai pendapatan sampingan saya. 

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

1. Non Fungible Token (NFT) merupakan suatu bentuk aset digital. Apabila seseorang memiliki suatu barang atau harta berbentuk fizikal seperti rumah atau lukisan tangan, dia boleh membuat suatu unit yang didaftarkan di dalam satu sistem blockchain bagi mewakili barang atau harta tersebut. Proses ini dinamakan sebagai unitized (menjadikan unit-unit tertentu yang unik atau tersendiri). Unit ini adalah unik untuk barang atau harta tersebut dan tidak akan ada unit lain yang serupa dengannya. Unit tersebut kemudiannya diberi nilai atau apa-apa manfaat berdasarkan kepada tujuan orang yang mendaftarkannya. Ia mungkin diberi nilai berdasarkan mata wang tertentu seperti ringgit, atau manfaat tertentu seperti membolehkan sesiapa yang memilikinya untuk access atau bermain sesuatu permainan (online game umpamanya). Proses ini dinamakan sebagai tokenized. Bukan sahaja barang atau harta berbentuk fizikal yang boleh ditokenizedkan, akan tetapi harta digital seperti gambar, video, imej, atau lukisan digital juga boleh ditokenizedkan. Ini bermakna satu unit Non Fungible Token mewakili satu barang atau harta yang telah diunitized di dalam satu sistem blockchain. Unit ini boleh dijual beli berdasarkan kepercayaan orang ramai terhadap nilai atau manfaat yang diberikan berasaskan barang atau harta yang didaftarkan. Pemilikan unit ini pada kebiasaannya pemilikan secara konstruktif atau milk al-hukmi.

2. Syarat pemilikan atau bertransaksi dengan Non Fungible Token (NFT) ini adalah ia perlu memenuhi syarat pemilikan harta atau mal di dalam Islam. Antaranya:

  1. Memandangkan NFT merupakan suatu aset digital yang disandarkan kepada suatu aset lain (asset-backed item), perlu dipastikan bahawa aset yang disandarkan itu memenuhi syarat harta yang diiktiraf oleh syarak. Seperti: mempunyai nilai, harta mutaqawwim (diiktiraf oleh syarak), boleh dimiliki dan boleh dipindah milik.
  2. Manfaat atau nilai yang diberikan adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan syarak. Seandainya manfaat yang diberikan bercanggah dengan syarak seperti membolehkan bermain online game yang mengandungi usur lucah atau perjudian, maka hukumnya adalah haram.
  3. Jika Non Fungible Token (NFT)  tersebut memenuhi syarat yang dinyatakan, maka bolehlah  berjual beli dengannya.

Walau bagaimanapun, bagi sebarang penawaran serta transaksi berkaitan dengan NFT adalah tertakluk kepada peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Bank Negara Malaysia. Sebarang transaksi berkaitan dengan aset digital perlulah melalui platform yang telah disahkan dan berdaftar dengan SC Bank Negara. Ini adalah bagi memastikan segala syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak dipatuhi serta melindungi kebajikan orang awam dari sebarang penipuan pelaburan (scammer) dan sebagainya.   

Segala permasalahan serta maklumat lanjut berkaitan penawaran serta transaksi aset digital boleh rujuk fatwa dan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Bank Negara Malaysia.

https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=dabaa83c-c2e8-40c3-9d8f-1ce3cabe598a  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.     

                                                      


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 223

message user image