Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT
Tuan,
Saya mempunyai sejumlah wang faedah bank ,soalannya adalah bolehkah saya menyumbang wang tersebut untuk pembinaan sekolah agama?.Seperti sedia maklum ada fatwa mengatakan tidak boleh diguna untuk membina masjid kecuali membuat pagar, jalan,bilik air dsgnya.Mohon pencerahan dan didahului dengan ucapan Terimakasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara, berdasarkan pandangan Dr. Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fatawa Mua'sirah "Sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan" (Rujukan: https://www.mais.gov.my/wang-tak-patuh-syariah/3/).
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan bahawa hukum penggunaan harta yang tidak patuh syarak adalah harus digunakan untuk kemasalahatan umat Islam dan ianya tidak boleh digunakan untuk tujuan kepentingan diri sendiri. Sehubungan itu, dalam perkara ini pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) adalah agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus harta tidak patuh syarak sebagaimana keputusan Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 31 Mac 2011, iaitu:
(i) Wang syubhah yang diperolehi boleh dijadikan sumber Baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun Baitulmal.
(ii) Penggunaan wang syubhah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain lagi untuk kegunaan umum
Adalah tidak diharuskan bagi saudara secara peribadi menyerahkan faedah bank iaitu riba yang mana ia merupakan wang haram untuk pembinaan sekolah agama seperti sebagaimana pembinaan masjid. Walau bagaimanapun, sebarang wang haram atau harta tidak patuh syariah yang diserahkan kepada Baitulmal, maka terserahkan kepada pihak Baitulmal untuk menyalurkannya ke mana-mana bahagian yang memerlukan seperti yang dinyatakan di dalam fatwa dengan hakikat bahawa harta tersebut telah berubah statusnya menjadi harta awam.
Suatu yang perlu difahami bahawa menyerahkan wang tidak patuh syariah kepada Baitulmal atau kegunaan umum seperti membuat jalan raya tidaklah dianggap sebagai sedekah atau taqarrub kepada Allah. Ini adalah kerana harta tersebut bukan hak atau milik kita.
والله أعلم بالصواب