BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Apakah status kumpulan millah abraham? Ada orang yang rapat dengan saya menyertai kumpulan ini. Mereka kata apa yg kami cari di internet, segala fatwa,  artikel di internet semua tak betul. Millah abraham bukan seperti yg dinyatakan di media. 

Jadi,  saya ingin dapatkan kepastian,  adakah ada gerakan millah abraham yg baru,  mungkin sudah tidak sesat? Bagaimana cara untuk saya membantu orang yang rapat dengan saya ini? Setiap kali berhujah pasti mereka memetik ayat alquran. Kadang kala disitu mereka menampakkan yang kumpulan ini benar,  tidak menyesatkan. 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ajaran Millah Abraham telah difatwa dan diwartakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam sejak 17 September 2015.

Ini kerana fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:

(i) Membawa ajaran dan kerajaan baharu (Millah Abraham @ Ibrahim);

(ii) Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W;

(iii) Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;

(iv) Menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;

(v) Menyalahertikan maksud kiamat;

(vi) Memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri;

(vii) Tidak melaksanakan solat lima waktu dan solat Jumaat; atau

(viii)Taksub kepada ajaran sehingga sanggup memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri sekiranya tidak mengikuti fahaman dan ajaran ini.

Sila rujuk: https://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/441-fatwa-ajaran-millah-abraham

Walaupun fatwa tersebut telah dibuat pindaan pada perkara 1(i) dan telah diwartakan pada 26 April 2018, namun ia tidak mengubah kedudukan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim yang menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Sila rujuk: https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/2017-terkini/796-fatwa-mengenai-ajaran-millah-abraham-ibrahim-di-negeri-selangor-pindaan-

Ciri-ciri yang dinyatakan adalah berdasarkan kepada siasatan yang dibuat oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor sebelum pewartaan dibuat. Penafian sudah tentu dibuat oleh mana-mana kumpulan yang telah  diwartakan menyeleweng. Jika benar ciri-ciri mereka telah berubah dan telah kembali ke pangkal jalan, maka tidak perlu lagi menggunakan istilah Millah abraham untuk diri mereka dan cukup sekadar mengaku diri mereka Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 83

message user image