Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt, Tuan Mufti. Jika sebuah organisasi/persatuan/NGO menerima sumbangan daripada orang ramai untuk satu program yang khusus, contoh program sumbangan bantuan bekalan makanan asasi, sekiranya terdapat lebihan daripada kutipan sumbangan tersebut, adakah boleh digunakan untuk kegunaan organisasi tersebut atau untuk program yang lain oleh organisasi yang sama? Adakah boleh mengambil sedikit peratusan daripada kutipan sumbangan tersebut untuk kegunaan organisasi (kos pengurusan organisasi)? Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk mkluman tuan, terdapat beberapa pembahagian berkaitan Tabung Kebajikan iaitu:
1. Tabung Kebajikan Umum
Tabung Kebajikan yang diwujudkan dengan mensasarkan bantuan yang umum dan tidak terikat dengan satu-satu jenis bantuan atau golongan sahaja. Tabung ini boleh digunakan oleh pihak penganjur untuk menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan dengan telus dan penuh amanah.
2. Tabung Kebajikan Khusus
Tabung Kebajikan ini diasaskan untuk menghulurkan bantuan hanya kepada golongan tertentu seperti Bantuan Bekalan Makanan Asasi. Tabung ini tidak boleh digunakan melainkan hanya kepada apa yang dikhususkan dan segala gerak kerja kearah mencapai tujuan tersebut, kerana penyumbang memberi sumbangan atas hasrat yang dinyatakan.
3. Tabung Kebajikan Fleksibel
Tabung kebajikan ini diwujudkan untuk membantu golongan tertentu secara khusus. Namun dimaklumkan kepada pengetahuan penyumbang sejak awal, bahawa jika terdapat lebihan kutipan tersebut, maka ia akan digunakan kepada kerja kebajikan lain atau pengurusan persatuan. Kaedah ini lebih sesuai digunakan oleh pihak persatuan supaya penyumbang mendapat pencerahan awal dan dapat mengelak salah guna sumbangan tersebut.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda;
أدِّ الأمانةَ إلى منِ ائتمنَكَ ، ولا تَخُنْ مَن خانَكَ
Maksudnya: "Tunaikanlah amanah kepada siapa yang memberi kepercayaan kepada kamu, dan janganlah mengkhianati sesiapa yang mengkhianati kamu."(Riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)
Merujuk kepada soalan yang diajukan, tuan hendaklah memaklumkan kepada penyumbang berkenaan lebihan wang sumbangan tersebut untuk meminta izin digunakan untuk program yang lain. Namun sekiranya tidak dapat diketahui penyumbang tersebut, maka bolehlah digunakan wang lebihan itu untuk program lain yang sama jenis program tanpa mengurangkan manfaatnya. Sebagai contoh, sekiranya sumbangan itu untuk program ilmu maka lebihan sumbangan tersebut hendaklah digunakan untuk majlis ilmu yang lain, maka ia tidak boleh digunakan untuk program sukan atau umpamanya. Ini bagi meraikan niat asal penyumbang.
Pihak penganjur boleh mengambil peratusan tertentu dari wang sumbangan bagi tujuan perbelanjaan pengurusan atau menggunakan lebihan wang sumbangan sekiranya ada untuk digunakan dalam program lain yang sama manfaatnya dengan syarat menyatakan perkara tersebut secara jelas kepada penyumbang di peringkat awal.
Secara kesimpulannya, setiap tabung yang dilancarkan adalah terikat dengan tujuan dan matlamatnya yang merupakan satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan.
والله أعلم بالصواب