Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, saya ada terjebak dalam melihat perkara yang haram seperti melihat aurat wanita. Maka dengan itu, saya berasa marah dengan perbuatan saya dan saya bernazar untuk tidak melihat perkara tersebut dalam tempoh yang tertentu. Namum, saya ada berkali kali melanggar nazar dalam tempoh tersebut. Jadi apakah saya perlu buat. Adakah sy perlu melakukan kifarah dengan banyak. Mohon pencerahan
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nazar bermaksud lafaz seseorang yang mewajibkan ke atas dirinya untuk melakukan sesuatu kebajikan atau taqarrub kepada Allah yang pada asalnya tidak wajib ke atasnya dari segi syarak. Seperti: Sekiranya saya dapat kerja, saya akan berpuasa sebanyak 3 hari. Merujuk kepada kata-kata tuan, tuan bernazar untuk tidak melihat perkara yang haram, ia bukanlah termasuk di dalam perkara nazar.
Mungkin apa yang tuan maksudkan ialah tuan bersumpah untuk tidak melihat perkara haram. Syarat sah sumpah ialah ia hendaklah disertai dengan nama Allah, seperti: Demi Allah saya tidak akan melihat perkara itu lagi. Sekiranya tuan melakukan perkara tersebut maka tuan dianggap telah melanggar sumpah. Maka tuan diwajibkan membayar kafarah iaitu pilihan sama ada memerdahekakan seorang hamba (sekarang sudah tidak ada) atau memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang miskin. Seandainya tidak berkemampuan, maka hendaklah berpuasa sebanyak 3 hari. Walaupun tuan telah melanggar sumpah tersebut beberapa kali, tuan hanya perlu membayar kafarah sebanyak sekali sahaja. Melainkan sekiranya tuan melafazkan sumpah yang baru. Setiap kali tuan bersumpah dan tuan langgar, maka kafarah itu berdasarkan jumlah sumpah yang tuan langgar.
Hukum dikenalan kafarah terhadap kesalahan melanggar sumpah adalah berdasarkan kepada firman Allah swt. di dalam Surah al-Maidah: 89.
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (89)
Bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur."
والله أعلم بالصواب