BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Sy ingin bertanya. Adik saya ingin meminjam wang dr saya utk modal perniagaan. Untuk maklumat adik saya berjaya mendapat tender kerajaan dan kekurangan modal utk projek tersebut. Beliau ingin meminjam wang dan menjanjikan wang akan dikembalikan dengan keuntungan 10% dr wang yg dipinjam. Maknanya klu sy bg pinjam rm10000 dia akan pulangkan kembali rm10000 itu bersama dengan keuntungan 10% iaitu rm1000. Rm10000+rm1000= rm11000.  Persoalannya.. adakah muamalah ini dibenarkan dlm islam atau diketegorikan sebagai riba.. mohon bantuan penjelasan dr pihak tuan. Atau ada cara lain yg boleh sy bantu adik saya ini. Yerima ksh atas perhatian tuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَیۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا

"Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba"

 Merujuk kepada penjelasan tuan, jelas bayaran tambahan yang dijanjikan oleh peminjam walaupun atas kerelaan peminjam sendiri adalah riba. Bagi menolong adik tuan, pilihan yang ada menurut syarak adalah:

  1. Akad musyarakah: iaitu berkongsi modal di antara 2 orang atau lebih untuk membuat suatu projek atau perusahaan. Keuntungan dan kerugian ditanggung bersama berdasarkan nisbah peratusan modal masing-masing.
  1. Akad mudharabah: iaitu melabur modal di dalam suatu projek atau perusahaan. Keuntungan berdasarkan persetujuan awal nisbah peratus keuntungan projek, sekiranya ada. Seandainya projek mengalami kerugian, maka pelabur akan menanggung kerugian tersebut.

Di dalam kedua-dua akad tersebut tidak boleh ada jaminan terhadap modal. Jika terdapat jaminan terhadap modal, maka akad tersebut adalah tidak sah.

والله أعلم بالصواب

 

 

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 165

message user image