Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Apa hukum jual beli emas 18K dan perak s925 secara online, untuk custom nama pada kalung, gelang dan cincin.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk pengetahuan pihak tuan, terdapat beberapa riwayat hadis yang boleh dirujuk berkaitan syarat jual beli emas dan perak, antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin Samit RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda :
الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ
Maksudnya: "Emas dengan emas, perak dengan perak, barli dengan barli, gandum dengan gandum, garam dengan garam, mestilah sama timbangannya dan jual beri tunai, maka jika jual beli dengan barang yang berbeza jenis maka juallah sepertimana yang kami mahu asalkan secara tunai."(Riwayat Muslim)
Daripada hadis di atas, dapat difahami bahawa jual beli emas dengan selain jenisnya seperti duit adalah dibolehkan dengan syarat ia berlaku secara tunai iaitu berlaku serah barang dan terima harga dalam majlis akad jual beli iaitu secara lani atau on the spot. Ini bermaksud, jika jual beli tersebut dibuat secara tangguh maka ia dikategorikan sebagai riba nasi’ah yang diharamkan.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, terdapat perincian di dalam bentuk penjualan emas dan perak secara atas talian online.
Pernyataan ini berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 yang antara lain membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas, dan telah membuat keputusan, antaranya adalah:
“Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:
Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami bagi Rabitah al-Alam al-Islami kali ke-11 yang bersidang di Makkah pada tahun 19-26 Februari 1989H juga telah membincangkan isu taqabudh hakiki dan hukmi memutuskan bahawa dokumentasi transaksi dalam bentuk resit dan rekod akaun boleh diterima sebagai salah satu bentuk taqabudh yang sah dan diterima dalam Islam.
Justeru itu, apabila emas tersebut sudah didepositkan ke dalam akaun pembeli dan direkodkan di dalam sistem dan resit, yang mana pembeli boleh pada bila-bila masa, mengeluarkan fizikal emas tersebut dengan kuantiti berdasarkan dalam majlis akad atau kontrak secara atas talian (online), maka penyerahan sudah dianggap sempurna. Maka sah akad jual beli emas secara atas talian jika meraikan syarat ini.
Walau bagaimanapun, pemantauan yang ketat perlu dilakukan bagi memastikan segala syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya. Antaranya, memastikan kewujudan emas yang diurus niaga dan emas yang diurus niaga itu tidak dijual untuk kali yang kedua dan seterusnya.
والله أعلم بالصواب