Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bela udang galah.
Ada pembekal benih udg galah buat proses mengawan cara biologi jantan dengan jantan. Harap dapat penjelasan dari segi hukum tersebut.
Dalam kolam ternakan. Jika bnyk beih jantan udang cepat besar. Berbanding benih betina. Mereka menggunakan teknologi untuk membuatkan benih jantan bertelur dan menghasilkan banyak benih jantan.
Bila dalam kolam banyak benih jantan. Uang besar dan penghasilan meningkat.
Tak dapat nak paste link.
Boleh buka fb GK AKUA.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk pengetahuan bersama, di dalam kaedah bioteknologi tersebut induk udang galah akan dihasilkan secara monoseks (iaitu satu jantina sahaja, jantan). Kaedah yang digunakan adalah dengan melakukan pembedahan mikro pada kelenjar androgenic udang jantan terpilih dan menyuntiknya dengan enzim 'Ribonucleic Acid Interference' (RNAi) bagi menyekat tumbesarannya menjadi jantan dan mengubahnya menjadi “neo-female”, yang secara genetiknya masih lagi jantan tetapi boleh mempunyai telur. Apabila ia sudah matang, neo-female ini akan 'dipasangkan' dengan induk jantan normal bagi proses mengawan dan hampir kesemua benih yang terhasil daripada neo-female itu adalah berjantina jantan. Teknik ini mampu mempercepatkan tumbesaran dari sembilan bulan kepada empat bulan sahaja. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi penternakan dan meningkatkan pendapatan. Kaedah ini telah mendapat perakuan daripada Jabatan Biokeselamatan dan Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik Malaysia (GMAC).
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum asal dalam menggunakan teknologi dalam proses pembiakan adalah harus selagi ianya dapat memberi manfaat kepada manusia serta tidak memberi kesan mudharat kepada manusia. Sebarang proses yang terlibat mestilah mengambil kira kebajikan haiwan yang terlibat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Ja'far RA:
فَدَخَلَ يَوْمًا حَائِطًا مِنْ حِيطَانِ الْأَنْصَارِ فَإِذَا جَمَلٌ قَدْ أَتَاهُ فَجَرْجَرَ وَذَرَفَتْ عَيْنَاهُ قَالَ بَهْزٌ وَعَفَّانُ فَلَمَّا رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَنَّ وَذَرَفَتْ عَيْنَاهُ فَمَسَحَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَرَاتَهُ وَذِفْرَاهُ فَسَكَنَ فَقَالَ مَنْ صَاحِبُ الْجَمَلِ فَجَاءَ فَتًى مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ هُوَ لِي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ أَمَا تَتَّقِي اللَّهَ فِي هَذِهِ الْبَهِيمَةِ الَّتِي مَلَّكَكَهَا اللَّهُ إِنَّهُ شَكَا إِلَيَّ أَنَّكَ تُجِيعُهُ وَتُدْئِبُهُ
Maksudnya :
Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke dalam sebuah kebun milik orang Ansar yang di dalamnya ada seekor unta yang datang mendekati Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dan menitiskan air mata, maka Rasulullah SAW mengusap telinganya dan pangkal lehernya, maka unta tersebut menjadi tenang. Lalu beliau bertanya, "Milik siapakah unta ini?" Datanglah seorang pemuda dari Ansar lalu menjawab, "Ia milikku Wahai Rasulullah." Beliau bertanya, "Tidakkah kamu bertakwa kepada Allah dalam memelihara unta yang telah Allah berikan kepadamu. Unta ini mengadu kepadaku, bahawa kamu membiarkan dia lapar dan keletihan." (Riwayat Ahmad)
Berdasarkan hadis di atas dapat disimpulkan bahawa manusia boleh mengambil segala manfaat yang diharuskan oleh syarak daripada haiwan dan tumbuhan, namun cara pengambilan manfaat mestilah dengan cara yang sewajarnya tanpa menzalimi binatang tersebut.
Keharusan memanfaatkan apa yang terdapat di muka bumi ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah: 29:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala apa yang ada di bumi”. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan semua apa yang ada di atas muka bumi ini untuk manusia. Maka memanfaatkan semua yang ada di atas muka bumi ini termasuk haiwan adalah diharuskan dengan syarat tidak menyalahi syarak seperti menganiaya atau menzalimi binatang.
Ini bersesuaian dengan kaedah Fiqah:
الأصل في الأشياء الإباحة
Bermaksud: “Hukum asal sesuatu perkara itu adalah diharuskan”.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.