BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Saya mengambil anak angkat lelaki dan gagal mengeluarkan susu selepas pelbagai usaha, baby masih bawah 2 tahun.

Soalan saya, siapakah antara berikut yang boleh menjadi ibu susan anak tersebut utk menjadikan saya mahramnya?

1. Sepupu perempuan saya (anak kepada makcik selah ibu saya)

2. Adik Ipar saya (isteri kepada adik saya)

3. Isteri kepada adik beradik suami saya

Moga ada pencerahan buat saya, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Asas atau dalil susuan sebagai salah satu sebab menjadikan seseorang itu mahram (iaitu haram untuk dinikahi) adalah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ra bahawa Rasulullah saw bersabda:

 إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الْوِلَادَةُ 

Maksudnya : "Sesungguhnya susuan itu dapat menjadikan mahram sebagaimana mahram kerana  wiladah/kelahiran". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Senarai mahram perempuan kerana nasab atau kelahiran adalah seramai 7 orang, sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Al-Nisa’: 23:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ

Bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak perempuan kamu, dan saudara-saudara perempuan kamu, dan saudara-saudara perempuan bapa kamu, dan saudara-saudara perempuan ibu kamu dan anak-anak saudara perempuan saudara lelaki kamu, dan anak-anak saudara perempuan saudara perempuan kamu”.

Manakala senarai mahram perempuan (muharramat min al-nisa’) kerana susuan adalah sama dengan mahram kerana nasab iaitu seramai 7 orang juga sebagaimana berikut:  

  1. Ibu susuan (ibu yang menyusukan), ini termasuk nenek susuan sebelah bapa (ibu kepada bapa susuan) dan nenek susuan sebelah ibu (ibu kepada ibu susuan).
  2. Anak perempuan susuan (anak perempuan susuan isteri).
  3. Saudara perempuan susuan (anak perempuan kepada ibu susuan).
  4. Anak saudara perempuan susuan sebelah saudara lelaki susuan (anak perempuan kepada saudara lelaki susuan).
  5. Anak saudara perempuan susuan sebelah saudara perempuan susuan (anak perempuan kepada saudara perempuan susuan).
  6. Makcik susuan sebelah bapa susuan (saudara perempuan kepada bapa susuan).
  7. Makcik susuan sebelah ibu susuan (saudara perempuan kepada ibu susuan).

Merujuk kepada soalan yang puan utarakan, yang membolehkan puan menjadi mahram kepada anak angkat lelaki puan adalah:

  1. Puan sendiri, yang akan menjadikan puan sebagai ibu susuan.
  2. Ibu puan, yang akan menjadikan puan sebagai saudara perempuan susuan.
  3. Saudara perempuan puan (adik-beradik perempuan), yang akan menjadikan puan sebagai makcik susuan.
  4. Anak perempuan puan, atau cucu perempuan puan, yang akan menjadikan puan sebagai nenek susuan.

Manakala senarai individu yang puan berikan tidak tergolong dari mereka yang boleh menjadikan puan sebagai mahram kepada anak angkat lelaki puan. Ini adalah kerana syarat susuan yang menjadi seseorang itu mahram berlaku di kalangan mereka yang mempunyai hubungan kelahiran atau nasab sahaja. Senarai individu yang puan berikan tidak mempunyai hubungan nasab dengan puan. Walaupun sepupu mempunyai hubungan kelahiran, mereka tidak tergolong dari mereka yang haram dinikahi.

 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 123

message user image