Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz.
Saya mempunyai masalah mengenai pembayaran balik kepada pembeli.
Arwah bapa saya menjual tanah kepada seorang pembeli dan pembeli bersetuju dengan harga tersebut. Proses jual beli ini ada dokumen perjanjiannya. Pembeli telah membayar sebanyak 10% dahulu dan bakinya akan dibayar penuh selepas pinjaman bank diluluskan. Tapi malangnya, pinjaman tidak diluluskan. Pembeli merayu untuk memulangkan kembali 10% bayaran yang telah dibuat walaupaun dokumen perjanjian telah terbatal kerana pembeli gagal membuat pembayaran penuh. Dokumen perjanjian tidak menyatakan bayaran dikembalikan sekiranya pinjaman tidak lulus.
Atas desakan dan rayuan pembeli, arwah bapa saya bersetuju untuk membayar kembali 10% walaupun peguam menjelaskan tidak perlu bayaran balik dibuat kerana tidada dalam dokumen perjanjian. Arwah saya hanya dapat membayar balik 2% daripada bayaran 10% tu.
Setelah arwah bapa saya meninggal, pembeli menuntut pembayaran balik selebihnya itu kepada waris. Sebelum meninggal, arwah bapa saya ada berpesan tiada lagi bayaran balik kepada pembeli tersebut. .Daripada pesanan ini, waris beranggapan bayaran balik semasa arwah hidup dan bebanan ini tidak ditanggung oleh waris.
1. Adakah waris perlu membuat bayaran balik dan adakah ini dianggap sebagai hutang?
Harap pihak ustaz dapat memberi penjelasan.. Sekian terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
ِAllah SWT berfirman di dalam surah Al-Maidah: 1:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian".
Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:
لا إيمانَ لِمَن لا أمانةَ له، ولا دِينَ لِمَن لا عهدَ له
Maksudnya: “Tidak ada iman yang sempurna bagi orang yang tidak memiliki sifat amanah, dan tidak ada agama yang sempurna bagi orang yang tidak menepati janji” (Riwayat Ahmad)
Begitu juga hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ»
Maksudnya: "orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka" (Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan kepada ayat al-Quran serta hadis di atas, adalah menjadi tanggungjawab orang Islam yang beriman untuk mematuhi sebarang syarat yang terdapat di dalam sebarang perjanjian yang mereka telah persetujui atau tandatangani.
Untuk pengetahuan tuan, bayaran 10% deposit bagi sesuatu belian dinamakan sebagai urbun. Ia merupakan sebahagian dari harga barang yang hendak dibeli. Ia diberikan sebagai penguat tanda setuju untuk membeli barang tersebut. Untuk melengkapkan pembelian, pembeli perlu membayar baki harga jualan iaitu sebanyak 90% lagi. Sekiranya pembeli membatalkan pembelian tersebut, maka wang deposit atau urbun tersebut menjadi milik penjual di atas kerugian yang dialami akibat pembatalan tersebut yang mana penjual telah menahan barang tersebut dari dijual kepada orang lain.
Ulama’ berbeza pendapat di dalam hukum jual beli secara urbun:
Memandangkan kepada keadaan masyarakat Islam masa kini, jual beli secara urbun telah menjadi suatu keperluan dan ‘uruf semasa sebagai satu tanda kesungguhan dan bagi mengelakkan dari sebarang kerugian kepada pihak-pihak yang bertransaksi. Pandangan mazhab Hanbali ini telah diterima pakai sebagai pandangan yang rajih sebagai mana yang terdapat di dalam Keputusan Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Pendapat yang sama turut dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Ramai Ulama’ kontemporari antarabangsa yang telah menyatakan pandangan yang sama antaranya Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam buku beliau Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pihak peguam ayah tuan telah memberikan nasihat yang wajar, iaitu tidak perlu memulangkan semula wang deposit 10% tersebut. Ini adalah kerana ia telah menjadi milik ayah tuan yang sah dari segi syarak dan undang-undang. Lebih-lebih lagi sekiranya wang tersebut telah dibelanjakan. Ini berdasarkan kepada kenyataan bahawa ayah tuan hanya dapat menyerahkan sebahagian kecil sahaja wang deposit tersebut selepas dipujuk dan didesak berbuat demikian.
Perlu diingat bahawa, wang deposit tersebut telah menjadi milik yang sah kepada ayah. Persetujuan ayah untuk menyerahkan semula wang tersebut adalah atas budi bicara dan ihsan ayah tuan. Kegagalan ayah untuk menyerahkan wang deposit tersebut tidak dianggap sebagai hutang ayah kepada pembeli yang membatalkan pembelian tersebut walaupun bukan disebabkan kehendaknya, iaitu kegagalan mendapatkan kelulusan pinjaman dari pihak bank. Oleh yang sedemikian, ahi waris adalah tidak dipertanggungjawabkan untuk memulangkan wang deposit tersebut bagi pihak bapa kepada pembeli kerana ia bukanlah hutang wang wajib dilunaskan.
والله أعلم بالصواب