Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,saya terpijak air kencing dan berjalan dengan kaki yang terkena air kencing di dalam rumah.Kemudian ibu saya mengemop satu rumah.Perlukah saya membasuh seluruh lantai rumah saya kerana ia berlaku beberapa bulan yang lalu?Saya rasa amat tertekan kerana takut solat keluarga saya tidak diterima Allah.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk pengetahuan pihak tuan, kaedah menyucikan tempat yang terkena najis adalah dengan membuang terlebih dahulu ain najis tersebut jika ada. Sekiranya najis tersebut adalah air kencing di atas lantai, maka hendak dibuang ain air kencing tersebut dengan mengelapnya dengan kain bersih. Kemudian mengalirkan ke atas kawasan yang terkena air kencing yang telah dikeringkan itu dengan air mutlak. Selepas dari itu, keringkan air tersebut dengan menggunakan kain bersih yang lain.
Tindakan mengemob ain air kencing di atas lantai tanpa menghilangkan ain kencing tersebut akan menjadikan mob tersebut menjadi mutanajjis. Ini adalah kerana mengemob tidak dianggap sebagai mengalirkan air. Melainkan sekiranya ain air kencing telah dihilangkan dan telah dialirkan ke atasnya air mutlak, maka menggunakan mob untuk mengeringkan air mutlak tersebut adalah diharuskan.
Seandainya kita yakini ada kawasan terkena najis air kencing, walaupun ia telah kering dan hilang semua sifat bau, warna dan rasa, kawasan tersebut tetap dianggap sebagai mutanajjis, iaitu dianggap sebagai najis hukmi, sehingga ia disucikan.
Merujuk kepada persoalan tuan, apa yang perlu tuan lakukan adalah mengalirkan air mutlak ke kawasan yang diyakini sahaja terkena air kencing, lalu mengelapnya dengan menggunakan kain yang suci.
Manakala ibadah yang keluarga tuan lakukan sebelum ini mudah-mudahan diterima oleh Allah swt. Banyakkanlah beristighfar dan bertaubat kepada-Nya.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.