BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan.

Saya pernah bernazar untuk membelikan makcik saya tilam baru sewaktu mereka berpindah rumah tetapi belum sempat saya nak beli, makcik saya dah beli 3biji tilam baru terlebih dahulu. Soalan saya, perlukah saya belikan mereka tilam baru, atau bolehkah saya menukar nazar saya tu kepada barang yg lain dengan nilai yang sama. Contoh, saya belikan katil yang baru.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudari, pengertian nazar dari sudut bahasa ialah berjanji untuk melakukan sesuatu kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: "Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara."

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat ke-29:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya : "Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka."

Justeru, nazar saudari wajib dilaksanakan sebagaimana yang dilafazkan. Tidak boleh ubah dengan yang lain. Setiap manusia mesti berpegang kepada janjinya. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa' ayat 34 :

وَاَوْفُوْا بِالْعَهْدِۖ اِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْـُٔوْلًا

Maksudnya : “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia). Sesungguhnya perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan.” 

Sebaiknya, jika ingin membuat kebaikan sesama manusia tidak digalakkan untuk bernazar, boleh sahaja mengeluarkan sedikit duit sebagai sedekah, kerana sedekah itu amat digalakkan. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda : 

لا تَنْذِرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: "Janganlah kamu bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah takdir daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Ia hanyalah mengeluarkan sesuatu dari orang yang bakhil”  (Riwayat Muslim)

Hakikatnya, seseorang muslim dituntut untuk memperbanyakkan ketaatan sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepadanya dan bukanlah bersifat bakhil dengan mesyaratkan kepada Allah SWT untuk mengurniakannya sesuatu nikmat barulah mahu memperbanyakkan ibadah. Nazar tidak berkuasa mengubah sesuatu ketentuan sebaliknya hanya Allah SWT yang berkuasa ke atas setiap sesuatu.

Merujuk kepada solan yang diajukan, saudari perlu menunaikan nazar sebagaimana yang diniatkan iaitu membelikan makcik tilam yang baru walaupun makcik telah terlebih dahulu membeli 3 buah tilam. 

والله أعلم بالصواب 

 


 

              


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 156

message user image