BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Mufti,

Saya menyara diri sebagai seorang pelukis potret. Soalan saya:

Bolehkah saya melukis orang yang tidak bertudung bagi perempuan muslim dan non-muslim? (Lukisan perempuan berpakaian sopan, tidak menjolok mata tetapi tidak bertudung)

Saya berharap penjelasan dari pihak Mufti. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, kami mulakan menjawab dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Isra’ ayat 36

إنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا

Maksudnya: Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabkan.

Berdasarkan ayat di atas, segala apa yang kita dengar, lihat dan fikirkan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak, samada sekecil-kecil perkara kepada yang sebesar-besar urusan. Allah SWT juga mengarahkan kaum Muslimin dan Muslimat agar memelihara pandangan mereka dan tidak mendedahkan aurat:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; (Surah an-Nur: 30-31)

Hukum asal permasalahan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW:-

مَنْ صَوَّرَ صُورَةً فَإِنَّ اللَّهَ مُعَذِّبُهُ حَتَّى يَنْفُخَ فِيهَا الرُّوحَ وَلَيْسَ بِنَافِخٍ فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya :”Sesiapa yang melukis atau mengukir gambar sesungguhnya Allah akan mengazabnya sehingga (jika disuruh) meniupkan ruh ke dalam gambar tersebut dia tidak mampu berbuat demikian selama-lamanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Abbas menyatakan :

إِنْ كُنْتَ لَا بُدَّ فَاعِلًا فَاصْنَعْ الشَّجَرَ وَمَا لَا نَفْسَ لَهُ

Maksudnya :”Jika engkau terpaksa melakukannya maka buatlah (gambar) pokok atau apa-apa yang tidak bernyawa.”

Dapat kita fahami jika lukisan itu adalah selain dari makhluk bernyawa seperti lukisan pokok,laut, gunung-ganang maka dibolehkan.

Larangan yang disebutkan oleh Nabi SAW adalah menjurus kepada pembuatan patung yang mempunyai jisim dan berbayang serta menyerupai makhluk yang bernyawa di mana ianya dijadikan sebagai sembahan. Ianya juga dikiaskan kepada lukisan-lukisan yang dilakar makhluk yang bernyawa kerana ianya juga menjadi satu penyembahan sepertimana yang berlaku kepada umat kristian yang melakar gambar Nabi Isa dan para hawariyyun yang mana mereka mempercayai itulah gambaran Nabi Isa dan para hawariyyun Baginda.

Kata al-‘Aini :

“Melukis gambar makhluk yang bernyawa (mengukir patung) adalah tidak dibenarkan kerana ianya disembah pada zaman Jahiliyyah.Maka tidak dibenarkan walaupun ianya tidak mempunyai bayang dan juga tidak berjisim (merujuk kepada gambar dan lukisan) untuk menutup pintu kerosakan.”

Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari

Para ulama berpandangan larangan ini adalah berbentuk Sad al-Zari’ah (menutup pintu kerosakan) kerana ditakuti menjadi objek penyembahan yang boleh merosakkan akidah. Adapun jika lukisan itu bertujuan yang tidak bercanggah dengan syara’ seperti digunakan untuk tujuan pembelajaran, pendidikan atau dakwah maka ianya dibenarkan.

Memetik pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau mengatakan: “Hukum melukis sesuatu yang bernyawa seperti manusia dan haiwan menjadi khilaf di kalangan para ulama. Jumhur mengatakan bahawa ianya haram dan sebahagian para ulama’ mengatakan ianya dibolehkan. Apa pun, penggunaan lukisan dalam media massa dengan tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam yang diharamkan bahkan sesuatu yang dituntut oleh syara’ sekiranya menjadi medium yang amat penting dalam menyampaikan dakwah dan ilmu yang bermanfaat kepada manusia dan ini tidaklah menjadi gambar yang haram padanya sepertimana gambar-gambar yang mengangkat sesuatu yang tidak bermoral, kezaliman dan gambar-gambar yang tidak senonoh.”

Sehubungan itu, melukis secara umum adalah suatu yang diharuskan. Walau bagaimanapun, melukis potrait seorang individu perempuan tertentu tanpa menutup aurat adalah seperti mengambil gambar potrait seseorang individu perempuan itu dengan menggunakan kamera. Ia melibatkan pendedahan aurat, maka hukumnya adalah haram.

Sekiranya gambar potrait itu bukan seorang individu perempuan tertentu, tapi sebaliknya adalah sekadar individu rekaan, maka keharusan melukis potrait tersebut bergantung kepada sama ada gambar tersebut boleh mendatangkan fitnah atau menaikkan syahwat atau tidak. Sekiranya ia, maka hukum melukisnya adalah tidak diharuskan. Begitu juga, melukis gambar karton dan sebagainya. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 296

message user image