BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Sekarang saya sedang berada di sebuah syarikat musik, dimana saya akan keluar pada masa yang akan datang. Saya musykil atas penggunaan lirik seperti  contoh, "Hadirnya bidadari berikanku nyawa", atau "akulah cinta hidupmu". Adakah ianya dibolehkan? Dan sekiranya saya terlibat didalam pembikinan musik video atau bekerja didalam syarikat tersebut, adakah saya dikira bersubahat? Saya memang berniat untuk keluar awal tetapi keadaan agak susah sekarang. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Agama Islam yang kita imani ini adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat  fitrah manusia untuk berhibur seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan nyanyian asalkan hiburan itu tidak menyalahi hukum Syara’ dan tidak melalaikan.

Memetik daripada  keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-2 yang bersidang pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam untuk berhibur melalui nyanyian ini.

1. Adalah diharuskan nyanyian yang mengandungi senikata yang baik, tidak mengandungi unsur lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah. 

2. Adalah haram sesuatu nyanyian itu, jika  senikatanya mengandungi unsur-unsur yang tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah. 

3. Adalah haram jika alat muzik dan pancaragam yang dimainkan menyebabkan kita lalai; dan

4. Nyanyian yang dialunkan untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Untuk menilai lirik tersebut perlu melihat keseluruhan lirik yang lain bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas terhadap maksud yang hendak disampaikan. Walau bagaimanapun, berdasarkan persoalan yang diutarakan, lirik "Hadirnya bidadari berikanku nyawa", didapati tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan yang boleh merosakkan akidah dan akhlak seseorang, selagi tidak diiktikadkan bahawa bidadari itulah yang memberi nyawa atau ruh yang hakiki. 

Manakala lirik: "akulah cinta hidupmu" pula tidak membawa maksud tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia yang boleh  membangkitkan  pendengar terangsang  nafsu untuk melakukan maksiat dan dosa. Maka lirik tersebut diharuskan dan dibolehkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 174

message user image