Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.Saya ada sedikit kemusykilan berkaitan hukum membunuh tanpa sengaja,adakah perlu kifarah iaitu perlu berpuasa 2 bulan?.bagaimana pula sekiranya kita sebagai doktor yang setiap hari perlu menjaga pesakit,jika begitu ramai pesakit yang meninggal ketika berada dalam waktu jagaan kita,adakah kita perlu kifarah mengikut bilangan pesakit yang meninggal??..terima kasih laman mufti selangor
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk pengetahuan pihak tuan, dinyatakan di bawah pembahagian jenayah membunuh menurut Hukum Syarak dan hukuman yang ditetapkan.
Kewajipan membayar kafarah bagi kesalahan membunuh dengan tidak sengaja adalah berdasarkan kepada firman Allah swt di dalam surah Al-Nisa’: 92:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَنْ يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ إِلَّا أَنْ يَصَّدَّقُوا فَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ عَدُوٍّ لَكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ فَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِنَ اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (92)
Bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kafarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar ‘diyah’ (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kafarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar ‘diyah’ (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, adapun seorang Doktor perubatan yang bertugas merawat pesakit, jika berlaku kematian di kalangan pesakit yang dirawatnya, ia tidak termasuk di dalam kategori membunuh seperti yang dinyatakan di atas kerana perbuatannya adalah untuk merawat dan bukan memukul, mencedera atau memusuhi pesakit. Oleh yang demikian tiada sebarang hukuman atau kafarah yang dikenakan ke atas doktor perubatan yang merawat pesakitnya jika berlaku kematian di kalangan pesakitnya.
والله أعلم بالصواب