Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam.. saya mengandung anak ke-4 sekarang, di mana usia kehamilan berusia 7 minggu. Tetapi, anak ke-3 saya baru berusia setahun ++. Apakah hukum menggugurkan kandungan di waktu wabak covid yang sedang melanda tika ini? Saya masih tidak bersedia, dan pada masa yang sama sangat takut dengan implikasi wabak ini terhadap bayi dalam kandungan jika saya meneruskannya. Adakah ia dikira berdosa jika saya menggugurkan kandungan saya sekarang?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, adalah haram dan berdosa hukumnya menggugurkan kandungan tanpa sebab yang dibenarkan oleh Syarak. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa' ayat 31:
وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَوۡلَـٰدَكُمۡ خَشۡیَةَ إِمۡلَـٰقࣲۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُهُمۡ وَإِیَّاكُمۡۚ إِنَّ قَتۡلَهُمۡ كَانَ خِطۡـࣰٔا كَبِیرࣰا
Maksudnya : "Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar."
Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke 26 yang bersidang pada 7 – 8 Mac 1990 memutuskan bahawa, haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan teruk yang membahayakan nyawa ibu. Manakala Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke 52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 pula telah memutuskan bahawa:
Pastikan dengan doktor pakar Muslim yang dipercayai, bahawa kandungan itu memang akan membahayakan nyawa ibu jika diteruskan. Sekiranya tidak membahayakan nyawa dan hanya mudharat kecil, maka tidak harus menggugurkan kandungan tersebut.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hadiid ayat 23 :
لِّكَیۡلَا تَأۡسَوۡا۟ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمۡ وَلَا تَفۡرَحُوا۟ بِمَاۤ ءَاتَىٰكُمۡۗ وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالࣲ فَخُورٍ
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”
Justeru, puan jauhilah daripada berprasangka di atas zuriat yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada puan. Berbaik sangkalah dengan Allah. Mungkin apa yang diturunkan kepada kita amat sukar dan perit untuk diterima sebagaimana puan nyatakan, tetapi yakinlah hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui apa yang terbaik ke atas hambaNya. Puan juga tidak keseorangan kerana ramai lagi ibu-ibu yang hamil dalam keadaan dan situasi yang sama seperti puan. Walau apapun puan harus tabahkan diri, jaga kesihatan diri, fikir yang positif, sentiasa berdoa agar diberi kemudahan walau diuji, dapatkan sokongan suami atau ahli keluarga dan sebagainya. Pastinya semua yang berlaku terdapat hikmahnya tersendiri.
الله أعلم بالصواب