Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Setelah keluar dari tandas, ketika berjalan seperti ada air jatuh kena pada betis kemungkinan dari celah antara dua kaki. Saya tidak tau sama ada itu air kencing yang keluar sendiri atau air biasa yang dari kulit yang tidak kering. Sebab pernah sekali sebelum ini air kencing keluar sndiri tanpa rasa ia keluar dari kemaluan. Disebabkan saya rasa was was dan takut air itu jatuh ke lantai yang saya tidak pasti bahagian mana air itu jatuh, saya mop semua tempat yang saya lalui. Ada saya baca kalau mop najis, semua lantai yang dimop dikira najis. Adakah ini masalah was was saya dan perlu saya abaikan atau perlu bersihkan lantai saya satu rumah dan bagaimana cara untuk bersihkan lantai itu.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyab bahawa terdapat seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu (terkentut) ketika solat, lalu baginda SAW bersabda:
«لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا»
Bermaksud: “Janganlah kamu berpindah – atau pergi – sehingga kamu mendengar bunyi atau mencium bau (kentut)”. (Riwayat Al-Bukhari).
Di hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا، فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا، فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا، أَوْ يَجِدَ رِيحًا»
Bermaksud: “Apabila seseorang di antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu apakah dia mengeluarkan sesuatu (kentut) atau tidak maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid kecuali ia mendengar suara atau mencium baunya”. (Riwayat Muslim).
Dari dua hadis di atas, menunjukkan bahawa ragu-ragu atau syak tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Ini dikukuhkan dengan firman Allah SWT di dalam surah Yunus: 36:
إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi/mengatasi kebenaran walau sedikit pun”.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan tidak pasti serta ragu-ragu air yang menitis dari celah kaki sama ada ia adalah air kencing atau air biasa kerana baharu sahaja keluar dari tandas. Berdasarkan kepada hadis serta ayat al-Quran di atas, air yang menitis itu adalah suci dan bukannya najis. Ini adalah kerana asal sesuatu itu adalah suci, sehingga kita yakin ia adalah najis.
Ini dikuatkan dengan kaedah Fiqh yang berbunyi:
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Bermaksud: “Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya”.
Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri anda yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri anda pada masa akan datang. Perasaan was-was itu adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.
Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.