BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz / ustazah, saya mempunyai soalan mengenai hukum membesarkan / tinggal serumah dengan anak tidak sah taraf. Saya dan bekas isteri pernah melakukan dosa dan bernikah pada 28 April 2011 dan anak perempuan saya dilahirkan pada 1 August 2011. Kami telah bercerai selepas kelahiran anak kedua. Persoalannya apakah hukum dari segi syarak mengenai aurat anak tersebut. Bekas isteri juga sempat menyusukan anak ini melebihi 3 kali kenyang ( anak susuan ) semasa menjadi isteri saya. Adakah haram bagi anak ini tinggal serumah bersama saya dan juga isteri baru saya? Adakah haram bagi saya menyentuh anak ini dan juga adakah haram jika saya melihat aurat anak ini jika dia tinggal serumah dengan saya? Umur anak perempuan saya ini sekarang 10 tahun. ( Belum akil baligh ) Saya inginkan kepastian kerana saya ingin bertanggingjawab dengan membesarkan anak ini sama seperti anak2 saya yang lain dan menjaga kebajikan anak ini. Saya harap pihak Ustaz / Ustazah dapat membantu saya dalam mencari jawapan atas kemusykilan tersebut. Sekian terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, bahawasanya berzina adalah perbuatan yang keji dan dosa. Ini telah jelas dinyatakan dalam al-Quran, firman Allah SWT ;

وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا

Maksudnya : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al-Israa' : 32)

Justeru, pelakunya wajib bertaubat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.    (ali'Imran : 135

Adapun, hubungan tuan dan anak tidak sah taraf tersebut adalah mahram disebabkan perkahwinan tuan dengan ibu kandungnya dan telah melahirkan anak. Tarafnya umpama anak tiri. Dalilnya firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 23 yang bermaksud:

"...Dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri"

Justeru, terpakailah hukum hakam pengharaman anak tiri perempuan haram berkahwin dengan bapa tirinya. 

Walaubagaimanapun, tuan tidak boleh menjadi walinya dan anak tersebut tidak boleh mewarisi harta pusaka tuan. Boleh mewarisi pusaka sebelah ibunya sahaja. Tuan boleh tinggal serumah dengannya dan batas aurat adalah sebagaimana anak kandung.

Alhamdulillah atas tanggungjawab tuan terhadapnya. Semoga tuan dapat memelihara dan menjaga kebajikannya sama seperti anak-anak yang lain.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 117

message user image