BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrt Ustaz. Maaf mengganggu.

Saya ada kemusyikalan berkenaan bermukim, bermusafir, dan kaitan jamak qasar.

Sebelum ini, saya tinggal dan membesar di bangi, tetapi sekarang saya bertugas di daerah jempol setiap hari isnin sehingga jumaat, di mana saya sedang menyewa di jempol sementara bertugas di sini. Walaubagaimanapun, saya akan pulang ke bangi setiap petang jumaat disebabkan ada komitmen kerja yang berlainan pada hari sabtu dan hari ahad, dan pulang semula ke jempol pada pagi isnin. (jarak antara bangi dan jempol melebihi dua marhalah)

Oleh itu, saya ada beberapa kemusyiklan:
i) Adakah bangi tu dikira tempat musafir bagi saya disebabkan saya sekarang menyewa di jempol dan saya balik ke bangi tidak melebihi tiga hari? atau bangi masih dikira sebagai tempat bermaustatin bagi saya?

ii) Adakah dibenarkan saya melaksanakan solat fardhu secara jamak qasar sepanjang keberadaan saya di bangi? atau hanya dibenarkan ketika dalam perjalanan sahaja?

Mohon percerahan dari ustaz berkenaan isu ini. Jazakallah khairan kathira.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Untuk maklumat tuan, istilah yang perlu difahami adalah mastautin, musafir dan mukim.

1. Mastautin: Seseorang yang bermastautin merujuk kepada mereka yang tinggal menetap di suatu tempat dan tidak berhasrat untuk berpindah ke tempat lain.

2. Musafir: Seseorang yang bermusafir adalah mereka yang tinggal di suatu tempat tidak melebihi 3 hari tidak termasuk hari tiba dan hari pulang dan jarak di antara tempat tersebut dan tempat tinggal mereka melebihi 81 KM.

3. Mukim: Seseorang yang bermukim adalah merujuk kepada mereka yang tinggal di suatu tempat melebihi tempoh musafir.

Jumhur Ulama' berpandangan bahawa qasar solat fardhu adalah disunatkan bagi mereka yang bermusafir dan cukup syarat-syaratnya. Abu Ya'la bin Umaiyyah RA pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab RA berkenaan mengqasarkan solat dibolehkan ketika bimbang dizalimi oleh orang kafir seperti yang dinyatakan di dalam surah al-Nisa' ayat ke 101. Tetapi sekarang manusia sudah aman. Maka Umar RA berkata ; Aku pernah terfikir seperti apa yang kamu fikirkan lalu aku pun bertanya kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda; 

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بهَا علَيْكُم، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya : Ia merupakan sedekah dari Allah kepada kamu semua, maka terimalah.

(Riwayat Muslim)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya tuan sekarang menyewa di Jempol dan tidak berhasrat untuk berpindah kembali ke Bangi atau ke tempat lain, maka Jempol adalah tempat bermastautin tuan. Oleh itu jika tuan pulang ke Bangi maka diharuskan tuan untuk solat secara jamak dan qasar sepanjang perjalanan dan ketika di Bangi memandangkan bangi dikira sebagai tempat musafir kerana tuan tinggal tidak melebihi 3 hari.

Adapun jika tuan tinggal di Jempol hanya untuk sementara dan berhasrat untuk berpindah kembali menetap ke Bangi suatu masa nanti tanpa berhasrat untuk berpindah ke tempat lain, maka Bangi masih dikira tempat bermastautin tuan dan Jempol merupakan tempat bermukim tuan. Oleh itu jika tuan pulang ke Bangi maka harus untuk tuan solat fardhu secara jamak dan qasar ketika perjalanan dan perlu solat secara tamam apabila tiba di Bangi.   

Akan tetapi sekiranya tuan juga tidak berhasrat untuk menetap terus di Bangi dan berhasrat untuk berpindah ke tempat lain yang belum dikenalpasti, maka tuan bukan bermastautin di Jempol mahupun di Bangi. Tuan boleh jamak dan qasar di kedua-dua tempat tersebut selama tidak berniat untuk tinggal lebih dari 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari keluar dari tempat itu. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 740

message user image