Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualikum.
Saya Syahril. Saya ada pertanyaan berkenaan solat jumaat di musim PKP ini. Saya telah lengkap 2 dose vaksin dan melayakkan saya untuk mengikuti solat jumaat di masjid dirumah saya di seksyen 29 shah alam mengikut sistem penggiliran yang ditetapkan.
Walaubagaimanapun saya telah mula bekerja dan di Petaling Jaya. Masjid di petaling jaya tidak membenarkan saya untuk mengikuti solat jumaat disana kerana tempat yang terhad dan hanya dibuka untuk ahli khariah setempat sahaja.
Soalannya adakah saya perlu pulang ke rumah untuk mengikuti solat jumaat di masjid di rumah. kerana ada kekangan masa untuk ulang alik kerumah yang mengambil masa yang panjang untuk perjalanan sahaja dengan kereta (syarikat swasta waktu solat jumaat jam 1-2 sahaja) .
Adakah saya dibolehkan untuk tidak mengikuti solat jumaat atau saya perlu berusaha untuk pulang bersolat jumaat di masjid di rumah.
Mohon dapat menguraikan masalah di hati saya.
Sekian terima kasih.
syahril.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk makluman tuan, solat Jumaat adalah diwajibkan bagi mereka yang memenuhi syaratnya Firman Allah SWT di dalam surah al-Jumu'ah ayat ke 9 ;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru kepada kamu untuk menunaikan solat Jumaat maka bersegeralah kepada mengingati Allah (solat Jumaat) dan tinggalkanah urusan jual beli. Sungguhnya perkara tersebut lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahuinya.
Solat Jumaat diwajibkan kepada setiap orang Islam di tempat mereka berada ketika masuk waktu Jumaat (gelincir matahari). Dalam situasi yang dinyatakan, tuan wajib melaksanakan solat Jumaat di masjid yang berdekatan dengan tempat kerja. Sekiranya permohonan sudah dibuat tetapi masih tidak diberi peluang atas sebab-sebab tertentu, maka gugurlah kewajipan solat Jumaat dan wajib diganti dengan solat Zohor. Adapun pulang solat Jumaat di masjid berhampiran rumah adalah diharuskan jika mempunyai kesempatan masa yang mencukupi.
Namun, mengambil iktibar dari firman Allah SWT "Sungguhnya perkara tersebut lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahuinya", adalah amat wajar untuk tuan berusaha bersungguh-sungguh hadir ke masjid di kawasan rumah tuan sekiranya tuan mendapat giliran untuk solat Jumaat. Ini memandangkan mungkin agak jarang untuk mendapat giliran tersebut.
والله أعلم بالصواب