BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan tentang jodoh. Bukan ke jodoh tak pernah salah alamat dan semua orang dah ditetapkan jodoh dan pasangan masing-masing sejak dari lahir lagi. Tapi kenapa ada orang yang kahwin dan bercerai? dan kenapa ada orang yg kahwin lebih dari 1. adakah ia dikira salah jodoh?


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, jodoh adalah suatu perkara yang telah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah SWT terhadap setiap hamba-Nya. Tiga perkara yang telah Allah SWT tentukan  adalah rezeki, jodoh dan umur. Ketiga-tiga perkara ini adalah menjadi rahsia Allah SWT . Segala ketentuan-Nya adalah yang terbaik. Sebagai hamba, jangan lah sampai kita mempertikaikan maupun berputus harap dengan segala rahmat dan ketentuan yang diberikan kepada kita. Begitu juga dengan perjalanan jodoh kita. Allah SWT yang lebih mengetahui jodoh setiap hamba-Nya sama ada panjang atau pendek, kekal sehingga hujung nyawa atau berlakunya  perpisahan. Perpisahan pula sama ada  kerana perceraian atau disebabkan kematian. Allah SWT  juga yang menentukan sama ada jodoh seseorang itu seorang atau mungkin lebih dari seorang. Sebagai hamba, kita wajib mempercayai dan menerima setiap qada' dan qadar yang telah ditentukan mengenai jodoh dalam hidup kita. Sebagaimana hadis Nabi SAW :

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلاَئِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Maksudnya :"Allah mencatat takdir setiap makhluk 50.000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.” (Riwayat Muslim)

Persoalan yang ditanya secara tidak langsung berkaitan dengan keimanan terhadap qada’ dan qadar Allah SWT serta peranan dan tanggungjawab hamba terhadap dirinya sendiri. Apa yang perlu kita fahami dari kenyataan bahawa semua perkara itu telah ‘ditentukan’ atau dengan perkataan lain bahawa semua perkara itu telah tercatat di Luh Mahfuz bermaksud bahawa semua perkara yang berlaku itu adalah di dalam pengetahuan ILMU Allah SWT.

Sebagai manusia, kita disuruh berusaha serta berikhtiar untuk mendapatkan sesuatu termasuk di dalam usaha mencari dan memilih pasangan hidup, iaitu jodoh kita. Dengan keupayaan untuk berusaha dan berikhtiar kita mencari pasangan sebagaimana ciri-ciri yang digariskan oleh Islam seperti beragama, berakhlak mulia, soleh dan sebagainya. Apabila kita membuat sesuatu perbuatan atau pilihan dengan keupayaan yang Allah SWT berikan itu, ia berlaku dengan kehendak serta izin Allah SWT juga.  

Atas keupayaan untuk berusaha dan berikhtiar yang Allah SWT berikan itu kita di dipertanggungjawabkan di atas pilihan dan perbuatan kita. Namun, segala apa yang kita usahakan dan ikhtiarkan tetap tertakluk kepada kehendak dan izin Allah SWT. Segala apa yang kita usahakan, segala apa pilihan yang kita buat semuanya telah tercatat di Luh Mahfuz, di dalam pengetahuan ILMU Allah SWT.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, seseorang itu berkahwin lalu bercerai adalah atas usaha dan ikhtiar seseorang itu, dan ia berlaku dengan kehendak dan izin Allah SWT. Semua itu telah tercatat di Luh Mahfuz, di dalam pengetahuan ILMU Allah SWT.

Begitu juga mengapa seseorang lelaki itu berkahwin lebih dari seorang, ia adalah dengan usaha serta ikhtiar lelaki tersebut. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa kadang kala perbuatan tersebut berlaku bukan dengan pilihan sendiri. Ia mungkin berlaku dengan sebab wujudnya unsur paksaan, kekerasan, ugutan, rayuan, pujukan, atau mungkin pukau, sihir dan sebagainya, yang mana ia berlaku dengan kehendak dan izin Allah SWT, dan semua itu telah tercatat di Luh Mahfuz, di dalam pengetahuan ILMU Allah SWT.

Tiada istilah tersalah jodoh. Apabila seseorang itu berkahwin, maka itulah jodohnya. Dan jika selepas daripada itu berlaku penceraian, maka ini bermakna jodohnya tidak berpanjangan. Semua itu berlaku dengan kehendak dan izin Allah SWT, dan ia telah termaktub di Luh Mahfuz, di dalam pengetahuan ILMU Allah SWT.

Inilah yang dimaksudkan di dalam firman oleh Allah SWT di dalam surah Yasin ayat 12:

إِنَّا نَحْنُ نُحْيِ الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ 

Maksudnya, "Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata".

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 625

message user image