BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum ustaz..

saya ingin bertanya apakah hukum jika seorang istri tidak melaksanakan tempoh iddah kematian suami? kemudian mengajak anak-anak nya untuk keluar berjalan tanpa keperluan sedangkan dalam Islam menyatakan tempoh iddah 4 bulan 10 hari dan keluar hanya atas keperluan.. adakah berdosa jika anak mengikut kemahuan si ibu tadi? sedangkan si anak sudah menyatakan tentang iddah... mohon pencerahan ustaz..

terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudari,

Seorang perempuan yang kematian suaminya hendaklah menjalani tempoh iddah selama (4) empat bulan (10) sepuluh hari sepertimana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 234 :

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ

Bermaksud: "Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari." 

Ayat berkenaan menjelaskan kewajipan beriddah sama ada kepada perempuan tua atau muda, telah disetubuhi atau belum disetubuhi oleh suaminya. Dalam melalui tempoh iddah tersebut, seseorang perempuan itu tidak boleh keluar dari rumahnya melainkan darurat atau keperluan hajat. Ini juga berdasarkan kepada sabda Nabi SAW ketika Furay’ah binti Malik bin Sinan telah menemui Nabi SAW bertanyakan adakah boleh bagi dirinya untuk pulang ke pangkuan ahli keluarganya, Bani Khudrah kerana telah kematian suaminya. Lalu Baginda SAW menjawab:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Bermaksud: "Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan"

Oleh itu, adalah berdosa jika seseorang perempuan itu, tidak melaksanakan iddah kerana kematian suami. Selain daripada itu, hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah binti Abu Sufiyan RA bahawa baginda SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اﻟْﺂخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثِ لَيَالٍ إلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya : "Tidak Halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat untuk ihdad (tidak berhias) melebihi tiga hari kecuali kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari."  (Riwayat al-Bukhari)

Merujuk kepada soalan yang diutarakan, apa yang ibu saudari lakukan adalah jelas melanggar perintah Allah SWT. Oleh sebab itu adalah tidak wajar untuk ditaati, walaupun kepada seorang ibu. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ

Bermaksud: “Tidak ada ketaatan terhadap seseorang dalam melakukan maksiat/durhakai terhadap Allah SWT”. (Riwayat Muslim).

Pun begitu sebagai seorang anak yang soleh, perlu melayan ibu dengan cara dan kata-kata yang paling baik tanpa menyinggung perasaannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Luqman: 15:

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Bermaksud: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik”.

Walau bagaimanapun, sekiranya dengan tidak membawa ibu keluar dari rumah akan menyebabkan keadaan ibu menjadi teruk seperti kemurungan atau tertekan. Maka adalah diharuskan untuk membawanya keluar dengan cara yang sekadarnya dan tidak berlebih-lebihan.

والله أعلم بالصواب         

                                                   


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 162

message user image