Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada permasalahan sedikit. Sewaktu saya belajar dalam bidang animasi, projek saya menggunakan lagu latar ukulele, mungkin dari hawaii. Namun, selepas beberapa tahun, saya terbaca bahawa banyak lagu Hawaii berunsurkan ketuhanan, dan saya cuba mencari sumber bagi lagu tersebut untuk memastikan bahawa ianya berunsurkan ketuhanan atau tidak, namun tidak jumpa, dan lagu tersebut tidak dijumpai dimana-mana lagi. Video tersebut pula diupload di laman youtube universiti saya. Adakah wajib untuk saya menyuruh pihak universiti untuk menurunkan video tersebut walaupun tiada bukti? Ataupun adakah saya harus berusaha mencari sumber lagu tersebut?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Islam tidak menghalang umatnya untuk mengadaptasikan sesuatu sama ada ia berasal daripada Barat mahupun Timur, asalkan ia menepati kriteria- kriteria yang digariskan dan sesuai dengan adat setempat yang tidak bercanggah dengan syarak. Dengan kata lain, ia mestilah tidak terkeluar daripada kerangka keislaman. Dari sini jelaslah bahawa kita dituntut untuk lebih kreatif dalam menilai dan menerima sesuatu usaha kreatif yang dapat dinikmati oleh masyarakat Islam dengan penuh yakin di samping memperkaya hiburan yang bercorak alternatif.
Selain daripada itu, kita juga tidak menafikan, bahawa lagu merupakan satu medium untuk mencapai sesuatu matlamat. ika hasil akhirnya bercangah dengan kehendak Syariat, maka adalah tidak diharuskan. Sebaliknya, jika lagu digunakan dengan tujuan membawa kebaikan termasuk membawa mesej dakwah maka ia adalah harus dan terpuji.
Kami ingin menukilkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-2 yang bersidang pada 12-13 Mei 1981 yang secara langsung menyatakan bahawa adalah harus sesuatu nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat bahkan tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan.Selain daripada itu, nyanyian tersebut juga hendaklah tidak membawa kepada fitnah. Jika berlaku sedemikian, maka ianya akan menjadi haram.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, iaitu mengambil atau mengadaptasi lagu, tanpa mengambil senikata yang berunsur ketuhanan agama lain, adalah dibenarkan menurut syarak selama lagu itu tidak dikaitkan atau sinonim dengan upacara keagamaan atau ritual agama tertentu dan selama tidak melibatkan isu hak cipta.
Seandainya benar pasti lagu tersebut sinonim dengan agama tertentu maka wajarlah memberitahu pihak universiti perkara yang sebenarnya dan terpulang kepada mereka untuk membuat tindakan seterusnya.
والله أعلم بالصواب