BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalam tuan,

Sy ingin bertanya mengenai permainan di shopee...kebanyakannya melibatkan cabutan bertuah/luck contoh spin wheel and win, shopee shake, dan sebaginya..ada yang berbayar(guna matawang shopee coins) dan ada yang percuma...sy hanya menyertai permainan yang percuma sahaja iaitu tidak melibatkan pembayaran(untuk mengelakkan ada unsur judi kerana tidak pasti jumlah hadiah) Jadi adakah benar pendapat sy itu? Hadiah bermain permainan itu adalah dalam bentuk voucher atau shopee coins yang boleh digunakan untuk membeli barang. Adakah hukum hadiah itu? Dibolehkan bagi permainan yang percuma itu? 

satu lagi soalan, adakah dengan menyertai permainan percuma itu, sy secara tidak langsung berjudi sama dengan orang yang membayar untuk menyertai cabutan bertuah itu walaupun sy tidak ikut sama membayar? Untuk makluman tuan, shopee memberi peluang bermain percuma hanya sekali/dua dan selebihnya perlu dibayar dengan shopee coins. (Sy hanya bermain setakat percuma sahaja untuk elakkan sy berjudi(mengikut pemahaman sy). 
 

harap pihak tuan dapat membantu saya merungkai permasalahan ini. Terima kasih

 



 


 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Kami mulakan persoalan ini dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَیۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسࣱ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّیۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman!  sesungguhnya meminum arak,perjudian, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu tergolong dalam kalangan orang-orang yang berjaya."

Secara umum permainan atau cabutan bertuah, cuba nasib adalah diharuskan sekiranya tidak melibatkan sebarang pembayaran untuk menyertai permainan tersebut dan apa-apa yang diperolehi dari cabutan tersebut harus untuk diambil sekiranya ia tidak menyalahi syarak. Ia mengambil hukum hadiah yang diharuskan dari segi syarak. Di samping itu, permainan tersebut hendaklah sesuatu yang tidak mendatangkan fitnah kepada agama Islam mahupun diri pemain itu sendiri.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, iaitu mengenai permainan yang disediakan di laman Shopee, pihak Shopee akan memberi beberapa coin secara percuma kepada pelanggan, dan dengan coin percuma itu pelanggan boleh menyertai permainan tersebut.

Dari sudut syarak, coin yang ditawarkan di laman Shopee merupakan sesuatu yang bernilai memandangkan ia boleh digunakan untuk membuat pembayaran pos atau membeli barangan. Oleh kerana itu, coin tersebut boleh dianggap sebagai mal atau harta, dan ia mutaqawwim iaitu suatu yang sah dari sudut syarak. Hanya sanya, coin tersebut merupakan suatu harta atau aset berbentuk digital. Pelanggan juga kemudiannya boleh mendapatkan coin yang lain sama ada melalui bonus pembelian barang atau membelinya dengan wang.

Manakala coin yang pelanggan terima secara percuma oleh pihak Shopee khas untuk membolehkan pelanggan bermain dengan permainan yang mengandungi unsur perjudian maka ia adalah suatu yang tidak diharuskan di dalam Islam. Ini adalah kerana dengan menerima coin tersebut merupakan suatu pengiktirafan kepada permainan yang berunsurkan perjudian. Ia juga boleh dianggap sebagai bersubahat atau membantu di dalam perkara kemaksiatan dan dosa. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah: 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan/permusuhan”.

Pemberian coin secara percuma untuk bermain permainan tersebut dilihat sebagai umpan kepada pelanggan untuk terjebak di dalam permainan perjudian.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 463

message user image