Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum.
Saya ingin bertanya. Saya ada mendapat maklumat bahawa zikir munajat "Hasbi Rabbi Jallallah, Mafirghqalby Ghoirullah Nur Muhammad Sallahllah" dikatakan bercampur batil dan syirik kerana katanya ada kesesatan agama Nur Muhammad. Katanya ia seperti mengangkat Muhammad sebagai Tuhan. Ajaran majusi dan syiah. Kemudian dikatakan zikir munajat itu tidak wujud dalam al Quran mahupun hadith.
Menurut maklumat itu, Nur itu asalnya dari Majusi yakni Tuhan Majusi, mereka mengubah menjadi Nur Muhammad agar kelihatan Islamic. Menerusi makumat itu, Majusi ada Nur (Tuhan cahaya) dan Zulmah (tuhan kegelapan).
Saya amat memohon supaya persoalan saya ini dapat dijawab oleh pihak Pejabat Mufti kerana zikir munajat ini telah diamalkan oleh saya sejak kecil lagi. Namun baru-baru ini saya mendapat maklumat bahawa ianya bercampur batil dan syirik.
Saya ingin mengetahui sama ada ia benar atau tidak kerana gusar dengan maklumat itu.
Saya akhiri dengan ucapan Terima Kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat riwayat yang menyatakan bahawa makhluk ciptaan Allah SWT yang paling awal adalah nur muhammad, seperti yang dikhabarkan di dalam Musannaf Abdul Razzaq al-San’ani dan diriwayatkan oleh Saidina Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata, يا رسول الله، بأبي أنت وأمي، أخبرني عن أول شيء خلقه الله قبل الأشياء . قال : يا جابر إن الله تعالى خلق قبل الأشياء نور نبيك من نوره Maksudnya : Wahai Rasulullah! Demi ayahku, dikau dan ibuku, khabarkan kepadaku tentang perkara paling awal yang diciptakan oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda; Wahai Jabir , sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan cahaya nabimu dari cahayaNya sebelum diciptakan sesuatu. (Riwayat Abdul Razzaq al-San’ani) Hadis ini turut dimasukkan di dalam buku karangan Sheikh Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas al-Hasani al-Maliki (1367H - 1425H), di dalam bab al-Nur al-Muhammadi. Buku tersebut berjudul al-Dzaka’ir al-Muhammadiyyah . Dr. Jamal Farouk al-Daqqaq , pensyarah Fakulti Dakwah Islamiah Al-Azhar, Mesir dalam membahaskan hadis tersebut menyatakan bahawa sebahagian ulama' Islam menyatakan hadis ini sebagai maudu’ sebelum mereka mengetahui sanadnya. Seharusnya kita bersangka baik dengan para ulama’ terdahulu kerana mereka memasukkan hadis ini dalam kitab mereka seperti al-Qostollani yang memasukkan dalam karangannya al-Mawahib, Imam Ibnu Hajar di dalam Syarah al-Hamziyyah dan al-‘Ajluni di dalam kitab al-Khafa'. Biarpun sebilangan ulama’ hadis menghukumkan hadis ini sebagai mungkar dan ada yang mengatakan ianya palsu, mempercayai Nur Muhammad atau perkara lain merupakan ciptaan Allah SWT yang terawal merupakan salah satu pandangan dari kalangan ulama’ dan ia tidak menyebabkan seseorang menjadi sesat. Namun demikian, umat Islam dimohon untuk berhati-hati dengan tafsiran sesat dan syirik yang mendakwa bahawa Nur Muhammad itu sebahagian daripada zat Allah SWT dan mengangkat Nabi Muhammad SWT sehingga setaraf dengan Tuhan serta mengaitkannya degan akidah agama Majusi dan Syiah. Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 6 pada 8 Zulkaedah 1422H/ 22 Januari 2002M telah membincang dan membuat keputusan seperti berikut: : i) Tidak semua fahaman dan pegangan kepada "Nur Muhammad" itu sesat, kerana sebahagian ulama mu'tabar seperti Imam Ibnu Hajar Al-Haitami, Syaikh Ibrahim Al-Baijuri, Sayyidi al- Syaikh Ja'far Al-Barzanji,Sultanul Awliya' Syaikh Abdul Qadir Al-Jilani dan ramai lagi, menerima konsep ini dengan penafsiran yang sewajarnya tanpa melampaui batas akidah dan syariah Islam. Dalam penafsiran mereka "Nur Muhammad" adalah seawal-awal makhluk ciptaan Allah SWT yang bersifat dengan sifat baharu (bukannya qadim) dan sekali-kali tidak mempunyai unsur-unsur ketuhanan. ii) Kesalahfahaman dan penyelewengan banyak berlaku kerana sebahagian kelompok telah tersalah tafsiran kepada hadith-hadith yang menyebut bahawa 'Nur Muhammad' ini diciptakan daripada "Nur Allah" atau dengan tafsiran yang seolah-olah "Nur Muhammad" itu adalah satu juzuk daripada zat Allah SWT. Tafsiran sebegini adalah sesat lagi menyesatkan iii) Konsep "Nur Muhammad" sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama mu'tabar, sewajarnya diletakkan dalam perkara khilafiyyah dan diterima dengan fikiran terbuka dan rasa tasamuh yang tinggi. Percaya atau tidak kepada hal yang demikian tidaklah merosakkan aqidah. iv) Oleh kerana tidak semua pegangan terhadap konsep "Nur Muhammad" itu sesat, maka sewajarnya kita janganlah bermudah-mudah untuk menyesatkannya tanpa usul periksa terlebih dahulu. Menyesatkan konsep "Nur Muhammad" secara keseluruhan akan mengakibatkan hukuman sesat kepada ramai ulama mu'tabar yang menjadi sandaran ummat. Berkaitan dengan persoalan zikir, Terdapat banyak zikir munajat yang tiada dalil khusus daripada al-Quran dan al-Sunnah, namun ia disusun oleh para ulama' tasawwuf berdasarkan dalil yang umum. Tidak menjadi kesalahan untuk beramal dengannya selagi mana tidak bercanggah dengan Syara', namun beramal dengan riwayat yang sahih adalah lebih utama dan digalakkan. والله أعلم بالصواب
|