Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz..
Saya ingin bertanya berkenaan infaq/waqaf dan bacaan al Quran yang dihadiahkan buat arwah..
Setiap kali saya membaca alquran/ berzikir atau bersedekah saya akan meniatkan untuk manfaat dan pahalanya kepada arwah abang saya.
Soalan saya
1. Adakah pahala bacaan AlQuran itu hanya akan diperoleh manfaatnya oleh arwah sahaja atau pun pahalanya di kongsi bersama saya yang membacanya al Quran / sedekah tersebut..
2. Adakah ada cara tertentu untuk meniatkan pahala dan manfaat dari kebaikan yg kita buat (contoh bacaan AlQuran /sedekah /berzikir) untuk arwah yang telah meninggal?
Atau cukup sekadar niat sepintas lalu di dlm hati (contoh : aku hadiahkan bacaan al Quran/ sedekah ini untuk arwah abang ku yg bernama........ Moga manfaatnya dan pahalanya diperoleh oleh arwah)
jika kita meniatkan sedemikian adakah pahala dan manfaatnya hanya akan diperoleh oleh arwah sahaja? Adakah kita tidak dapat apa2 dari bacaan AlQuran dan sedekah yang kita buat..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Pada asasnya hukum menyedekahkan pahala bacaan al-Quran/ zikir/tahlil adalah diharuskan berdasarkan pandangan jumhur Ulama' yang menyatakan bahawa membaca ayat al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia akan memberi manfaat kepada si mati dengan syarat;
1. Diniatkan bacaan al-Quran atau zikir tersebut kepada si mati ketika membacanya.
2. Mendoakan supaya pahala bacaan al-Quran atau zikir tersebut disampaikan kepada si mati selepas selesai membacanya.
Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW
عن أبي أسيد الساعدي رضي الله عنه قال: بينا نحن عند رسول الله صلى الله عليه وسلم إذ جاء رجل من بني سلمة فقال: يا رسول الله هل بقي من بر أبوي أبرهما به بعد موتهما؟ قال: "
نعم الصلاة عليهما والاستغفار لهما وإنفاذ عهدهما من بعدهما وصلة الرحم التي لا توصل إلا بهما وإكرام صديقهما."
“Dari Abu Usaid Malik bin Rabi'ah as-Sa'idi r.a, katanya: "Pada suatu ketika kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba datanglah kepadanya seorang lelaki dari Bani Salamah. Orang itu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada amalan yang dapat saya amalkan sebagai kebaktian saya kepada dua orang tua saya setelah keduanya meninggal dunia?" Baginda menjawab: "Ya, masih ada iaitu mendoakan keselamatan untuk keduanya, memohonkan pengampunan kepadanya, melaksanakan janji kedua orang itu setelah kematiannya, mempereratkan hubungan kekeluargaan yang tidak dapat dihubungi kecuali dengan adanya kedua orang tua itu serta memuliakan kawan taulannya." (Riwayat Abu Dawud)
Ma'qal bin Yasar RA meriwayatkan sebuah hadis, Rasulullah SAW;
اقرَؤوا يس علَى موتاكُم
Maksudnya : Bacalah yasin kepada kepada orang mati di kalangan kamu.
(Riwayat Ahmad)
Berhubung manfaat bagi orang yang menyedekahkan pahala amalan kepada orang lain, Imam Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairami al-Mishri asy-Syafi’i didalam Tuhfatul Habib ‘alaa syarhi al-Khathib
(Hasyiyah al-Bujairami ‘alaa al-Khatib) berkaitan ziarah qubur menyatakan ;
وَكَمَا يَنْتَفِعُ الْمَيِّتُ بِذَلِكَ يَنْتَفِعُ الْمُتَصَدِّقُ وَالدَّاعِي وَيَحْصُلُ لَهُ أَيْ الْمَيِّتِ ثَوَابُ الْقِرَاءَةِ إذَا نَوَاهُ أَوْ قَرَأَ عِنْدَهُ أَوْ دَعَا لَهُ عَقِبَهَا اهـ
Maksudnya : Sebagaimana si mati mendapatkan manfaat dengan hal itu, orang yang menyedekahkan (pahala bacaan a-Quran) dan yang berdoa juga mendapat manfaat, dan sampai bagi si mati pahala bacaan al-Qur’an apabila diniatkan untuknya atau dibacakan disisinya, atau didoakan untuknya mengiringi bacaan al-Qur’an.
Dalam melaksanakan ibadah ini, tidak ada kaedah khusus untuk menyampaikan sesuatu amalan kepada arwah-arwah, namun memadai dengan bacaan dan doa yang ikhlas dipohon kepada Allah SWT khususnya doa seorang anak kepada kedua ibubapanya, mudah-mudahan doanya dimaqbulkan oleh Allah SWT .
والله أعلم بالصواب