BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Apakah hukum bekerja di syarikat forex trading antarabangsa, tetapi dalam unit HR dan IT. Adakah haram hasil gaji kami? Secara detailnya syarikat Exness Malaysia.

Saya dah beberapa hari tak dapat tidur fikirkan masalah ini. Buat masa sekarang dengan PKP, saya tak tahu samada wajar atau tak untuk berhenti kerja. 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, forex iaitu singkatan kepada Foreign Exchange yang bererti pertukaran matawang asing. Jika syarikat tersebut memenuhi syarat-syarat urusniaga Bai' al-Sarf (kontrak jualbeli matawang) antaranya dibayar secara tunai, bukan hutang dan tidak boleh berlaku sebarang penundaan dalam proses serah dan terima wang berkenaan. Maka, bekerja di syarikat tersebut adalah harus dan gaji yang diperolehi adalah halal.

Namun, jika syarikat tersebut menjalankan urusniaga Bai' al-Sarf dengan tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan, maka syarikat tersebut terlibat dalam menjalankan perniagaan yang diharamkan iaitu riba. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut: Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf.

Terlibat secara langsung dengan syarikat tersebut adalah haram. Bekerja di bahagian HR atau IT di syarikat tersebut akan menyebabkan seseorang individu itu terjerumus ke dalam perkara syubhah. Bersubahat atau bekerjasama dalam usaha menjalankan urusniaga yang tidak halal adalah dilarang kerana ia termasuk dalam perbuatan tolong menolong dalam kemungkaran. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” 

Walaubagaimanapun, pada ketika ini berlakunya wabak pandemik covid-19, ramai kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan serta sukar mencari pekerjaan baharu. Maka boleh bekerja di situ sementara mendapat pekerjaan yang lain.

Kesimpulannya, bekerja dengan syarikat yang terlibat dengan riba adalah dibenarkan bekerja dalam bidang itu hanya jika didapati betul-betul sukar untuk mencari kerja yang halal untuk mencari rezeki. Paling baik adalah berusaha untuk meninggalkan pekerjaan ini pada ketika menemui kerja atau tempat kerja yang lebih sesuai dan diyakini. Yakinlah, rezeki adalah dari Allah dan Dia tidak akan menyempitkan rezeki hambaNya dan sentiasa mempermudahkan Jalan bagi kita yang mencari kebaikan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 244

message user image