BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

 

Majikan saya memberikan benefit kepada pekerja , iaitu insurans konvensional. Insurans tersebut merupakan jenis insurans group term life , insurans hospital dan pembedahan, dan insurans kemalangan peribadi.

Saya tidak menyumbang apa-apa kepada insurans tersebut. Majikan saya merupakan pemegang polisi.

Soalan saya, 

1) Apakah hukum jika keluarga saya dapat wang pampasan jika berlaku kematian saya? Saya diarahkan oleh majikan untuk menulis nama-nama penerima wang pampasan dan peratus wang pampasan sekiranya berlaku kematian saya.

2) Apakah hukum jika saya menggunakan medikal kad yang diberikan oleh majikan?

3) Jika medikal kad digunakan untuk suami dan anak-anak, saya perlu membayar kepada pihak hospital terlebih dahulu kemudian saya perlu klaim insurans. Apakah hukum saya klaim insurans dan gunakan wang tersebut?

 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Insurans konvensional adalah haram kerana mengandungi tiga elemen iaitu riba, gharar (ketidak-tentuan) dan maisir (judi). Oleh itu haram hukumnya terlibat dengan urusniaga dengan insurans konvensional, ini termasuklah kepada mereka yang mempromosikan.

1. Dalam situasi majikan mencarum untuk pekerja insurans konvensional terdapat sekurang-kurang dua situasi : 

      Situasi 1. Jika pekerja hanya berniat untuk bekerja dan mengambil upah/gaji atas kerja-kerjanya tanpa niat untuk mengambil manfaat dari insuran konvensional tersebut maka ianya harus diambil.

      Situasi 2. Jika pekerja memang dari mula bekerja ingin mengambil manfaat daripada insurans konvensional tersebut maka haram hukumnya mengambil manfaat daripada insuran tersebut.

2. Bagi isu kad perubatan konvensional yang disediakn oleh syarikat juga sekurang-kurangnya terdapat dua situasi:

      Situasi 1. Syarikat mensyaratkan pekerjanya untuk mengambil pelan perlindungan daripada syarikat insurans tertentu dan bayaran premium kepada syarikat tersebut akan dipotong daripada gaji bulanan pekerja tersebut. Dalam keadaan ini, pekerja itu sendiri mengeluarkan duitnya untuk membayar premium tersebut. Maka sebagai seorang muslim wajib ke atas dirinya mengambil pelan perlindungan yang berasaskan Islam. Sekiranya dia mengambil pelan perlindungan konvensional maka perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa.

    Situasi 2. Syarikat menyediakan insentif pelan perlindungan bagi menjaga kebajikan pekerjanya, bayaran premium kepada syarikat insurans ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat. Oleh itu, apabila pekerja diterima masuk untuk bekerja di syarikat tersebut maka secara automatik dia layak untuk menggunakan insentif kebajikan yang disediakan pihak syarikat tersebut. Dalam keadaan ini pekerja tidak menanggung kesalahan atau dosa yang dilakukan pihak syarikat, dan perkerja diharuskan untuk mengambil manfaat tersebut.

3. Menggunakan wang sendiri terlebih dahulu kemudian membuat tuntutan ke atas belanja perubatan tersebut adalah diharuskan berdasasrkan jawapan di atas.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 259

message user image