BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

Saya ingin memohon pencerahan, beberapa hari lepas saya telah ditegur oleh ibu bapa suami saya bahawa cara saya bersalaman salah kerana tidak mencium tangan mereka menggunakan bibir. Kata mereka mencium menggunakan bibir barulah mendapat keberkatan. Selama ini saya bersalaman dengan mereka dengan meletakkan tangan didahi saja sebagai tanda hormat saya pada mereka bukan mencium menggunakan bibir. Saya ingin bertanya adakah keberkatan itu dari ciuman ketika bersalaman atau bergantung pada niat orang yang bersalaman. Mohon ustaz terangkan cara bersalaman yang betul. 

Sekian,

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudari, ibu bapa mertua adalah golongan yang wajib dihormati, ditaati dan dimuliakan sepertimana yang  dilakukan kepada kedua ibu bapa kandung dan antara perkara yang berkait rapat dengan penghormatan ini adalah dengan mencium tangan ibu bapa mertua ketika bersalaman. Islam meletakkan hukum mencium tangan kedua ibu bapa dan mertua adalah diharuskan, sebagai tanda penghormatan.

Dalam hal teguran ibu bapa mertua saudari, adalah wajar untuk menerima teguran tersebut. Tambahan pula perbuatan mencium tangan dengan bibir bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan syarak. Membuat sesuatu yang disukai oleh orang tua kita adalah sangat dituntut. Ini adalah kerana keredhaan mereka membawa kepada keredhaan Allah SWT seterusnya mengundang rahmat serta keberkatan dari-NYA.

Semoga dengan asbab ketaatan dan penghormatan tersebut anak-anak akan peroleh keberkatan, sebagaimana perintah Allah SWT di dalam firmannya pada Surah al-Isra' ayat 23, iaitu: 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 189

message user image