Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, kepada Ustaz/Ustazah, terima kasih kerana meluangkan masa untuk membantu kami dengan kemusykilan di bawah: Berikut adalah kemusykilan pihak syarikat. Mohon bantuan dan jawapan bagi membantu kami menyusun syarikat dan gerak kerja Agar berketepatan dengan syariah dan pendapatan yang diberkati. Terlebih dahulu kami memperkenalkan serba sedikit tentang latarbelakang perniagaan kami. Rich Moment Photo merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan fotografi dalam pelbagai genre seperti perkahwinan, produk, konvokesyen, gambar berkumpulan dan majlis-majlis korporat serta istiadat di raja. Kami juga menjual bingkai gambar dan menyediakan perkhidmatan studio untuk tujuan mengambil gambar keluarga dan gambar produk. Soalan 1 : Adakah haram pendapatan kami apabila menjual bingkai gambar beserta gambar studio pada majlis konvokesyen?Kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa rumah tidak di masuki oleh Malaikat Rahmat kerana tergantungnya gambar di rumah. Bagaimana status pendapatan kami yang mana syarikat perlu mengambil gambar ke semua graduan menerima sijil tetapi graduan tersebut tidak menutup aurat dan yang bukan Islam. Soalan 2 : Bgaimana status pendapatan syarikat yang menghantar jurugambar untuk mengambil gambar majlis perkahwinan atau majlis yang terdapat di dalamnya wanita Islam yang tidak menutup aurat dan gambar itu di cuci dan di masukkan ke dalam album, kami tidak dapat mengelak untuk tidak mengambil gambar mereka kerana kami di bayar oleh pelanggan untuk merakamkan suasa perjalanan majlis secara keseluruhan. Soalan 3 : Jika kami mempunyai mesin pencetak gambar dan pelanggan yang menghantar kepada kami itu adalah mereka yang bukan Islam dan kami mencetak gambar tersebut( yang mana wanitanya tidak menutup aurat contohnya gambar perkahwinan masyarakat India, Cina atau Melayu ) bagaimana status pendapatan itu? Begitu juga jika gambar – gambar tersebut jika kami hasilkan dalam bentuk album untuk simpanan pelanggan. Mohon maklumbalas daripada pihak Ustaz dan Ustazah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Maksudnya : “Orang yang paling mendapat siksa pada hari kiamat adalah para pembuat gambar (pelukis/pengukir)”. (Riwayat al-Bukhari) Namun Ibu Abbas r.a ada menjelaskan terdapat keringanan bentuk gambar yang dibenarkan oleh syarak, iaitu: Maksudnya : “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, saya menasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”. (Riwayat al-Bukhari) Dan terdapat hadith daripada Rasulullah SAW yang menggambarkan bahawa gambar yang dimaksudkan dalam kebanyakan hadith adalah gambar yang dilukis, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Maksudnya : “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!” Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.” (Riwayat Muslim) Oleh yang demikian, terdapat khilaf antara ulama sama ada bidang fotografi termasuk atau tidak dalam konteks gambar yang dilukis. Perbahasan berkenaan ini adalah lukis dan fotografi kerana sifat keduanya berbeza. Fotografi adalah memantulkan bayang seperti kita berdiri di hadapan cermin, kerana majoriti para ulama’ menyatakan yang dimaksudkan dengan gambar yang haram adalah ukiran yang ada bayang jika bercahaya. 1. Adapun berbalik kepada pertanyaan pihak tuan, no. 1 sehingga 3 adalah berkaitan. Perniagaan fotografi adalah harus namun dibatasi dengan jenis gambar yang ditangkap. Jika di dalamnya terkandung perkara-perkara pendedahan aurat, pengagungan individu dan unsur penyembahan, ia adalah Haram. 2. Berkenaan dengan status pendapatan, Halal atau haram sesuatu pekerjaan bergantung kepada cara atau metode pekerjaan itu. Sekiranya terdapat unsur haram di dalam pekerjaannya itu, maka haramlah pendapatanya. Memandangkan hukum mengambil/menjual gambar itu harus, maka pendapatannya adalah halal. Namun begitu, perlu diingat, keharusan hukum mengambil/menjual gambar ini bergantung kepada syarat-syarat yang telah diberikan. Ini bermakna hukumnya boleh berubah dari harus ke makruh begitu juga haram. Dicadangkan agar pekerja wanita sahaja yang menguruskan gambar-gambar berkaitan wanita yang tidak menutup aurat. Kesimpulan akhir, Ibn Mundzir ada menyatakan sesuatu yang diragui akan halal dan haram, maka adalah lebih utama untuk meninggalkan keraguan itu. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.