Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam Ustaz, saya bertanya bagi pihak suami berkenaan harta pusaka. Isteri pertama suami saya meninggal pada tahun 2006. Saya bwrkahwin dengan suami 2009. Harta arwah ada sepasang subang, rantai tgn dan rantai. Duit kwsp tak sampai rm 2k dan duit simpanan tak sampai rm 2k.
Harga emas waktu 2006 rm76g waktu itu. Arwah ada waris anak 2 lelaki dan 1 perempuan dan ibu. Anak waktu itu berumur 12, 10 dan 7thn.
Suami waktu itu jahil, guna pakai duit itu untuk perbelanjaan anak. Tidak beri pada ibu. Barang emas pula pada 2015 masuk pajak. Duit guna untuk perbelanjaan telah maklum pada anak2 sahaja. Ibu tidak tahu langsung. Barang sampai sekarang masih dalam pajak.
Soalan. Bagaimana suami nak beri duit faraid 1/6 kepada ibu arwah. Kerana barang masih dalam pajak, tidak mampu untuk keluarkan. Dan juga duit simpanan arwah yang sudah di pakai?
Mohon pencerahan daripada ustaz.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, setiap harta yang ditinggalkan perlu dibahagikan secara faraid. Sepatutnya simpanan duit KWSP dan barang kemas yang ditinggalkan oleh arwah hendaklah dibahagikan mengikut hukum faraid. Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam pembahagian ini, iaitu;
a) Bahagian Faraid
Ibu : 1/6
Suami : 1/4
Anak : Asobah (mendapat baki dengan nisbah lelaki perempuan 2:1)
Barang kemas yang ditinggalkan perlu dinilaikan terlebih dahulu atau dijual kemudian dibahagi hasilnya mengikut faraid.
b) Seorang Suami boleh menggunakan wang tunai yang ditinggalkan untuk perbelanjaan anak dari bahagian anak dan bahagiannya sendiri menurut faraid. Adapun bahagian ibu, maka wajib diberitahu nilai sebenar yang berhak diterima dan meminta izin atau halal daripadanya terlebih dahulu. Jika ibu tidak mengizinkan, maka wajib membayar kepadanya mengikut bahagian faraidnya. Jika wang telah digunakan, maka wajib digantikan dengan wang lain dengan nilai yang sama.
c) Barang kemas yang dipajak perlu dinilai semula mengikut harga semasa dan mengenalpasti bahagian ibu. Setelah mendapat kadar serta nilai sebenar, maka perlu memberitahunya kepada ibu. Wajib membayar kepada ibu kadar tersebut dengan menggunakan wang sekiranya ibu tidak menghalalkannya.
والله أعلم بالصواب