Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
1. Apakah hukum mengukir dengan kayu logo pasukan bola sepak seperti Liverpool untuk digantung di dinding dan dijual kepada orang kerana terdapat gambar burung pada logo tersebut.
2. Bagaimana pula dgn logo Manchester United yang terdapat logo (red devil), sedangkan kita tidak tahu bagaimana rupa bentuk jin. Apakah ianya dikategorikan sebagai mahkluk bernyawa?
3. Adakah dengan mengantungnya pada dinding sebagai hiasan dianggap memuliakannya dan menjadi haram? Bagaimana hukum kepada pembuatnya yang menjual pula adakah turut berdosa?
4. Benarkah jika tidak lengkap anggota tubuh (contoh seperti kepala harimau sahaja) dibolehkan melukis / mengukir dalam bentuk (Vector line) untuk dijual dan dijadikan hiasan dinding?
Sekian terima kasih (Yang benar dari hamba Allah yang amat takut dengan azab siksanya)
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk pengetahuan, hukum mengukir serta melukis gambar boleh ditentukan dengan beberapa ketentuan seperti berikut:
HARAM:
1. Seandainya melukis atau mengukir sesuatu objek, sama ada hidup seperti manusia dan binatang (lengkap atau tidak) atau tidak hidup seperti arca, pokok dan sebagainya dengan niat menjadikannya sebagai sesuatu untuk disembah seperti berhala, atau apa-apa unsur syirik, maka hukumnya adalah haram.
Ini bertepatan firman Allah SWT di dalam surah Al-A’raf: 191:
أَيُشْرِكُونَ مَا لَا يَخْلُقُ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ (191)
Bermaksud: “Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda (berhala) yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?”
Sesungguhnya Islam melarang umatnya dari menyekutukan Allah SWT seperti menyembah berhala, maka membuat berhala hukumnya adalah haram.
2. Begitu juga haram melukis atau mengukir patung objek hidup, yang lengkap anggota badan atau tidak lengkap, sama ada manusia atau binatang, dengan niat menandingi ciptaan Allah SWT, maka ia adalah dilarang. Sebagai mana hadis daripada Saidatina Aisyah menceritakan: Rasulullah SAW:
قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ سَفَرٍ، وَقَدْ سَتَرْتُ بِقِرَامٍ لِي عَلَى سَهْوَةٍ لِي فِيهَا تَمَاثِيلُ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَتَكَهُ وَقَالَ: «أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ القِيَامَةِ الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللَّهِ» قَالَتْ: فَجَعَلْنَاهُ وِسَادَةً أَوْ وِسَادَتَيْنِ.
Bermaksud: “Pernah Rasulullah SAW pulang dari bermusafir dan aku ketika itu menutupi diri dengan kain tipis milikku di atas lubang angin pada tembok lalu di kain tersebut terdapat gambar-gambar. Ketika Rasulullah SAW melihat hal itu, beliau merobeknya dan bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling berat seksanya pada hari kiamat adalah mereka yang membuat sesuatu yang menandingi ciptaan Allah.” ‘Aisyah mengatakan, “Akhirnya kami menjadikan kain tersebut menjadi satu atau dua bantal.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Pengharaman tersebut dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ صَوَّرَ صُورَةً، فَإِنَّ اللَّهَ مُعَذِّبُهُ حَتَّى يَنْفُخَ فِيهَا الرُّوحَ، وَلَيْسَ بِنَافِخٍ فِيهَا أَبَدًا»
Maksudnya: “Sesiapa yang melukis gambar (makhluk bernyawa) sesungguhnya Allah akan mengazabnya sehingga (jika disuruh) meniupkan ruh ke dalam gambar tersebut dia tidak mampu berbuat demikian selama-lamanya.” (Riwayat al-Bukhari)
Di hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :
«إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ القِيَامَةِ المُصَوِّرُونَ»
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat melukis gambar (makhluk bernyawa).” (Riwayat al-Bukhari)
Keharamannya lebih berat sekiranya lukisan atau patung tersebut menjadi perhiasan atau pameran kepada orang ramai yang seolah-olah mengagungkannya serta menimbulkan rasa bangga kepada pemilik atau pembuatnya.
3. Begitu juga haram hukumnya melukis atau mengukir sesuatu lambang atau syiar agama lain seperti lambang bunga teratai bagi agama Hindu, Salib bagi agama Kristian dan Naga bagi agama Buddha. Ini adalah kerana ia dilihat sebagai suatu pengiktirafan dan pemuliaan agama mereka.
MAKRUH:
1. Melukis atau mengukir patung objek hidup, yang tidak lengkap anggota badan, sama ada manusia atau binatang, tanpa berniat niat untuk menandingi ciptaan Allah dan tidak untuk dipamerkan, maka hukumnya adalah makruh.
Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «ادْخُلْ» فَقَالَ: كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ، فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا، أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ. فَإِنَّا مَعْشَرَ الْمَلَائِكَةِ لَا نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ تَصَاوِيرُ
Bermaksud: “Jibril AS meminta izin kepada Nabi SAW untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi SAW menyebut: masuklah. Kata Jibril: bagaimana aku nak masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan (gambar makhluk bernyawa) padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak. Maka sesungguhnya kami para malaikat tidak memasuki rumah yang ada di dalamnya gambar.”
HARUS:
1. Begitu juga haram melukis atau mengukir patung objek hidup, yang lengkap anggota badan atau tidak lengkap, sama ada manusia atau binatang, dengan tujuan menjadikannya alat permainan adalah harus.
Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA bahawa beliau berkata:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي، «فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي»
Bermaksud: “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.”
2. Membuat patung bagi tujuan pembelajaran seperti patung bagi pelajaran ilmu perubatan adalah diharuskan.
3. Membuat robot berupa manusia bagi tujuan kajian penggunaan atau khidmat manusia untuk kegunaan yang diharuskan dari segi syarak adalah diharuskan. Ini adalah kerana robot tersebut dianggap sebagai alat. Walau bagaimanapun, sayugia menjauhi dari membuat wajah robot menyerupai wajah individu tertentu.
Menjawab soalan yang diajukan:
1. Hukum mengukir dengan kayu logo pasukan bola sepak seperti Liverpool untuk digantung di dinding dan dijual kepada orang kerana terdapat gambar burung pada logo tersebut. Untuk makluman tuan, berdasarkan semakan pihak kami, gambar burung pada logo pasukan Liverpool adalah dalam kartun yang jika dilihat lukisannya tidak menyerupai sepenuhnya realiti gambaran kepada sesuatu yang bernyawa sebagaimana lukisan potret. Oleh yang demikian ianya tidaklah menjadi kesalahan untuk mengukir atau melukis gambar tersebut.
2. Dalam menjawab persoalan kedua ini, walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk syaitan yang sebenar, namun apabila manusia telah membuat imaginasi tersendiri berkenaan bentuk syaitan dan diterima umum sebagai satu lambang syaitan atau Devil, serta diiringi pula dengan amalan dan perbuatan kesyaitanan dalam memujanya seperti yang berlaku kepada pengikut Black Metal, maka ianya boleh membawa kepada perbuatan yang diharamkan dalam Islam. Berdasarkan pandangan ulama' berkaitan syaitan dan jin, mereka menyatakan bahawa jin atau syaitan akan mati, maka sudah pasti ianya dikategorikan sebagai makhluk yang bernyawa. Di samping itu, imej tersebut menggambarkan seakan-akan terdapat perjanjian serta perharapan bantuan dari syaitan. Oleh yang demikian mengukir logo yang terdapat rupa bentuk syaitan adalah dilarang dan diharamkan.
3. Hukum menggantung ukiran tersebut bergantung kepada hukum seperti di atas. Sekiranya harus mengukirnya, maka harus pula menggantungnya. Jika haram mengukirnya, maka haram menggantungnya. Begitu juga hukum menjualnya.
4. Melukis atau mengukir menggunakan teknik vector line gambar binatang seperti harimau dan sebagainya adalah diharuskan. Ini adalah kerana gambar yang terhasil tidak menunjukkan seperti gambar binatang yang sebenar.
والله أعلم بالصواب